Hamas akan bangkit ‘seperti burung phoenix’ dari abu

Hamas akan bangkit ‘seperti burung phoenix’ dari abu
Khaled Meshaal
– Advertisement –

DOHA: Pemimpin Hamas, Khaled Meshaal berkata, kumpulan pejuang Palestin akan bangkit ‘seperti burung phoenix’ daripada abu walaupun mengalami kerugian besar selama setahun berperang dengan Israel, dan akan terus merekrut pejuang dan mengeluarkan senjata.

Setahun selepas konflik antara Hamas-Israel, Meshaal merangka konflik dengan Israel sebagai sebahagian daripada naratif yang lebih luas dan menjangkau 76 tahun, sejak apa yang orang Palestin sebut sebagai ‘Nakba’ atau ‘malapetaka’, di mana ramai yang kehilangan tempat tinggal semasa perang 1948, yang menyaksikan tertubuhnya negara haram Israel.

– Advertisement –

“Kami kehilangan sebahagian daripada peluru dan senjata kami, tetapi Hamas masih merekrut lelaki muda dan terus mengeluarkan sebahagian besar peluru dan senjatanya.

“Sejarah Palestin dibuat daripada kitaran. Kami melalui fasa di mana kami kehilangan syahid (mangsa) dan kami kehilangan sebahagian daripada keupayaan ketenteraan kami.

“Tetapi kemudian semangat Palestin bangkit semula, seperti burung phoenix, terima kasih kepada Tuhan,” katanya kepada Reuters.

Meshaal, 68, seorang tokoh kanan Hamas di bawah kepimpinan Yahya Sinwar sebelum ini terselamat daripada cubaan bunuh oleh Israel pada 1997 selepas dia disuntik racun, dan merupakan Ketua Biro Politik Hamas dari tahun 1996 hingga 2017.

Beliau kekal berpengaruh dalam Hamas kerana telah memainkan peranan penting dalam kepimpinannya selama hampir tiga dekad, dan kini dilihat secara meluas sebagai ‘wajah’ diplomatik kumpulan pejuang itu.

Sementara itu, Pengarah Program Timur Tengah dan Afrika Utara Kumpulan Krisis Antarabangsa, Joost R. Hiltermann berkata, secara keseluruhannya Hamas masih hidup dan masih mampu berperang, serta akan kembali pada satu ketika di Gaza.

“Israel tidak menyatakan rancangan untuk Gaza apabila perang berakhir, dan ini membenarkan Hamas untuk menubuhkan semula dirinya walaupun mungkin tidak dengan kekuatan sedemikian atau dalam bentuk yang sama,” katanya. -Agensi/– HARAKAHDAILY 8/10/2024

– Advertisement –

Scroll to Top