Hampir 120 gempa bumi susulan dicatat di Kamchatka, Rusia

Hampir 120 gempa bumi susulan dicatat di Kamchatka, Rusia

Petropavlovsk-Kamchatsky (Rusia): Kira-kira 120 gempa bumi susulan yang berlaku selepas gempa bumi kuat pada Rabu (30 Julai) direkodkan di Semenanjung Kamchatka, Timur Jauh Rusia dalam tempoh 24 jam lepas, lapor Agensi Berita Rusia (TASS).

“Sepanjang 24 jam lepas, kira-kira 120 gempa susulan dengan magnitud antara 3.5 hingga 6.7 direkodkan. Di kawasan berpenduduk, sebahagiannya dirasai sebagai gegaran dengan magnitud antara dua hingga lima,” menurut jabatan wilayah Kementerian Kecemasan Rusia.

Menurut ahli sains, aktiviti seismik di rantau itu kini semakin menurun, walaupun masih aktif. Proses gempa bumi susulan akibat gempa bumi bermagnitud 8.8 itu dijangka berterusan selama beberapa bulan.

Satu gempa bumi kuat melanda pesisir pantai Kamchatka pada pagi Rabu. Menurut pihak berkuasa, gempa itu berukuran 8.8 magnitud, menjadikannya yang terkuat melanda wilayah itu sejak 1952.

Bencana itu mengakibatkan seorang cedera, menurut Kementerian Kesihatan wilayah. Keadaan berjaga-jaga diisytiharkan di Kamchatka, manakala darurat diisytiharkan di Daerah Severo-Kurilsky di wilayah jiran, Sakhalin.

Gempa bumi itu turut mencetuskan tsunami di Lautan Pasifik, yang menyebabkan pihak berkuasa di Jepun, Amerika Syarikat dan Filipina mengeluarkan amaran tsunami.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top