Hampir 3 Juta Rakyat Nikmati Budi95, Jualan Lebih RM91 Juta Dalam 4 Hari

Hampir 3 Juta Rakyat Nikmati Budi95, Jualan Lebih RM91 Juta Dalam 4 Hari

Hampir tiga juta rakyat Malaysia telah memanfaatkan subsidi bersasar petrol RON95 di bawah program Budi Madani (Budi95) dengan jumlah jualan melebihi RM91 juta hanya dalam tempoh empat hari, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Setakat 6 petang semalam, kira-kira dua juta pengguna telah membeli petrol pada harga subsidi RM1.99 seliter, selepas program itu dibuka sepenuhnya kepada semua rakyat Malaysia bermula hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaannya berjalan lancar tanpa rungutan besar daripada orang ramai, malah trafik di stesen minyak meningkat kerana ramai yang teruja dengan harga baharu itu.

BACA: Rakyat Layak Dapat RON95 Sebanyak 300 Liter Sebulan

Kerajaan kini turut berunding dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bagi memperluas manfaat subsidi kepada pemilik bot dan enjin sangkut. Data pemilik yang layak akan dimasukkan ke dalam sistem supaya mereka juga boleh menerima subsidi yang sama.

Selain itu, kerajaan memberi kelonggaran kepada pemilik lesen memandu yang tamat tempoh kurang tiga tahun untuk terus menikmati Budi95, sambil menggalakkan mereka memperbaharui lesen secepat mungkin.

Program Budi95 dilancarkan secara berperingkat, bermula dengan 300,000 anggota polis dan tentera pada 27 September, sebelum diperluaskan kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada Ahad lalu. Secara keseluruhan, 16 juta rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu aktif layak menikmati harga subsidi RM1.99 seliter berbanding harga pasaran RM2.05 seliter, dengan had 300 liter sebulan setiap individu.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa harga tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter bagi tempoh 30 September hingga 8 Oktober sebelum diapungkan sepenuhnya.


Scroll to Top