Bosan tiada kawan bersembang punca remaja OKU lari ke rumah rakan

Bosan tiada kawan bersembang punca remaja OKU lari ke rumah rakan

Kangar: Remaja perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran yang dilaporkan hilang di sebuah klinik kesihatan pada Khamis lepas ditemukan selamat semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata remaja berusia 13 tahun itu ditemukan di rumah seorang rakan perempuan oleh ibunya pada 6.30 petang, selepas dimaklumkan oleh saudara menerusi panggilan telefon kira-kira 20 minit sebelum itu.

“Keterangan remaja perempuan itu mendapati dia keluar dari klinik kesihatan untuk ke sebuah bank dengan berjalan kaki bagi menyemak duit bantuan OKU sebelum memutuskan ke rumah rakan itu.

“Dia memberitahu telah mendapat izin daripada ibunya untuk bermalam di rumah itu kepada ibu bapa rakannya. Tujuan remaja itu ke situ kerana bosan tiada kawan untuk bersembang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yusharifuddin berkata remaja itu telah meminta maaf kepada ibunya dan polis menasihatkannya supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Semalam, Yusharifuddin berkata remaja itu disedari hilang pada 2.40 petang 7 Mei selepas memberitahu ibunya hendak ke tandas semasa mereka menunggu giliran di klinik kesihatan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top