Hampir empat jam selamatkan 19 individu terperangkap kepala air di Lata Debu

am@hmetro.com.my

Baling: Bomba menyelamatkan 19 individu yang terperangkap akibat kejadian kepala air di Lata Debu, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 4.11 petang.

Beliau yang mengetuai operasi itu bersama lapan anggota melakukan penyelamatan dan terpaksa mendaki sejauh dua kilometer (km) untuk ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, terdapat 19 individu yang terdiri daripada sembilan wanita dan 10 lelaki berusia antara 20 hingga 25 tahun dipercayai terperangkap akibat kepala air.

“Mereka dipercayai dalam perjalanan turun, namun terperangkap selepas berlaku kepala air serta arus yang sangat deras, ” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkhairi berkata, kaedah ‘crossing river’ menggunakan tali dilakukan untuk menyelamatkan mangsa seorang demi seorang.

Katanya, kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan operasi mengambil mangsa hampir empat jam disebabkan cabaran yang perlu dilalui iaitu batu licin serta arus sungai yang laju.

“Hujan lebat hampir dua jam yang melanda daerah ini hari ini menyebabkan berlaku kepala air.

“Semua 19 individu terbabit mula mendaki di Lata Debu pada jam 8 pagi dan terperangkap kepala air ketika hendak turun, ” katanya.

Zulkhairi berkata, kesemua mereka selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai orang luar yang datang untuk mendaki di situ.

Beliau berkata, ini adalah kes kedua operasi membabitkan kejadian di Lata Debu bulan ini iaitu kali pertama berlaku pada Ahad minggu lalu yang membabitkan seorang pengsan dan dua lagi pendaki sesat.

“Kawasan Lata Debu ini mempunyai pemandangan yang cantik, jadi ramai yang berminat untuk datang ke sini.

“Operasi tamat pada jam 8.10 malam dan kesemua mereka diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, ” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top