London: Wayne Rooney percaya Manchester United masih memerlukan pemain baharu di bahagian serangan dan menyifatkan keputusan memberi tumpuan sepenuhnya bagi memperkukuh jentera tengah skuad Michael Carrick pada jendela perpindahan musim panas sebagai satu ‘kesilapan’.
United membelanjakan sekitar 150 juta pound sterling (RM817 juta) untuk membawa masuk Andrey Santos, Youri Tielemans dan Carlos Baleba, tetapi memilih untuk tidak membuat bidaan bagi pemain Newcastle United, Lewis Hall yang menjadi sasaran utama mereka di posisi pertahanan kiri.
Namun, Rooney menegaskan bahawa Carrick masih kekurangan pilihan di bahagian serangan dan sepatutnya membawa masuk penyerang baharu ke Old Trafford pada musim panas ini.
“Aabila jendela perpindahan ditutup, saya terkejut kerana mereka tidak menandatangani lebih ramai pemain, ia amat mengecewakan,” kata Rooney dalam program Stick to United.
“Saya terdengar seseorang berkata semalam bahawa kami (United) menyelesaikan masalah di bahagian serangan dan kini memperkemas jentera tengah.
“Saya tidak fikir kami menyelesaikan masalah jentera serangan pada musim lalu. Kami membawa masuk pemain, tetapi tidak memulihkan sepenuhnya. Mbeumo beraksi agak baik, Cunha juga tidak menghampakan, tetapi mereka tidaklah terlalu menyerlah.
“Apabila musim lalu berakhir dan menuju ke Piala Dunia, saya melihatnya sambil berfikir mereka memerlukan seorang pemain ‘nombor 9’.”
United mengharungi aksi awal kempen Liga Perdana Inggeris dengan prestasi kurang menyerlah apabila hanya menang sekali daripada empat perlawanan dan berada di kedudukan ke-13.
© New Straits Times Press (M) Bhd

