Hampir satu tan 'ubat gila' dirampas dalam tempoh 10 bulan

Hampir satu tan 'ubat gila' dirampas dalam tempoh 10 bulan

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Polis Kelantan merampas 739.4 kilogram (kg) pil yaba iaitu hampir satu tan sepanjang Januari sehingga bulan lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata rampasan membabitkan RM65.54 juta itu dilakukan hasil operasi di seluruh negeri itu.

“Ini menunjukkan betapa seriusnya isu pil kuda atau dikenali sebagai pil yaba atau ‘ubat gila’ di negeri ini.

“Rampasan membabitkan hampir satu tan ini adalah banyak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Malah katanya, sepanjang tempoh seminggu sahaja bermula 29 Oktober sehingga semalam, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah dengan kebanyakannya pil yaba membabitkan nilai keseluruhan RM4.87 juta.

“Menerusi Operasi Tapis Bersepadu dan Ops Bersepadu Sempadan itu, seramai 628 ditahan termasuk seorang penjawat awam membabitkan pelbagai kesalahan.

“Daripada jumlah itu, 628 penduduk tempatan dan 35 individu adalah warga asing.

“Hasil tangkapan itu, kita berjaya merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM4,877,344.

“Sekiranya dadah ini terlepas, ia boleh digunakan seramai 326,923 orang penagih,” katanya yang operasi berterusan akan dilakukan dalam usaha mengekang kegiatan pengedaran dadah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top