Hamzah umum WAWASAN tak bertanding PRN Johor

Hamzah umum WAWASAN tak bertanding PRN Johor

Parti Cinta Malaysia (PCM), yang juga dikenali sebagai Parti Wawasan Negara, mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Tak bertanding PRN Johor

Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira beberapa pertimbangan semasa.

“Di Johor ini adalah gelanggang pertama selepas PRN Sabah, maka saya sebagai Presiden yang baru, saya nak perhatikan supaya kita ambil tindakan yang paling baik. Jadi kita buat keputusan untuk tidak serta PRN Johor,” katanya pada sidang media, hari ini.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa Wawasan tetap akan memberikan sokongan kepada mana-mana calon yang bertanding.

“Tidak sertai tidak bermakna tidak sokong mana-mana calon. Kita sokong barisan calon-calon yang layak,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Hamzah memaklumkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) masih meneliti permohonan pertukaran nama Parti Cinta Malaysia (PCM) kepada Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara).

Beliau yang juga Presiden parti itu berkata, pemilihan nama Wawasan Negara sesuai digunakan memandangkan ia tidak diguna pakai mana-mana parti lain.

Artikel lain: Hamzah Zainudin tubuhkan Parti Wawasan Negara, rumah baharu gerakan Reset

Katanya, pandangan ahli dalam parti secara keseluruhan juga diambil kira dalam proses pemilihan nama berkenaan.

“Pertukaran nama PCM kepada Wawasan Negara adalah kehendak ahli, ia lulus sebulat suara.
“ROS sedang meneliti perkara itu, jika nama Wawasan Negara sama dengan parti lain, maka tidak dibenarkan (untuk digunakan), namun saya fikir nama itu sesuai dan masih belum digunakan,” tambahnya lagi.

Sumber: Utusan Malaysia (Aslinda Nasir)

Scroll to Top