Tindakan Puad Zarkashi keluar UMNO ikut perasaan, tergesa-gesa – Zawawi

Tindakan Puad Zarkashi keluar UMNO ikut perasaan, tergesa-gesa – Zawawi

KOTA BHARU – Tindakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi mengumumkan keluar parti susulan isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor disifatkan sebagai tindakan mengikut perasaan dan memperlihatkan sikap kebudak-budakan, kata Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman.

Menurut beliau, tuduhan bahawa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bertindak mengikut telunjuk Sultan Johor dalam menentukan tarikh pembubaran DUN juga tidak berasas.

Beliau berkata, perkara itu sebaliknya menunjukkan hubungan erat antara UMNO dan institusi diraja dalam mengurus pentadbiran negeri demi kepentingan rakyat.

“Perkara berkaitan tarikh pembubaran DUN bukan isu besar kerana Johor sudah melepasi tempoh empat tahun pentadbiran dan sememangnya berada dalam fasa menuju PRN (Pilihan Raya Negeri).

“Kalau pun berlaku perbezaan masa, cepat atau lambat, ia mungkin hanya melibatkan satu atau dua minggu atau beberapa bulan sahaja,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Tambah beliau, pendirian UMNO yang menghormati keputusan institusi diraja selaras dengan perjuangan parti yang sejak sekian lama mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan.

“UMNO satu-satunya parti yang secara jelas meletakkan agenda mempertahankan institusi raja-raja Melayu dalam perlembagaannya.

“Sikap taat setia kepada raja tidak sepatutnya dijadikan isu sehingga mencetuskan polemik yang tidak perlu,” katanya.

Terdahulu Puad mengumumkan tindakan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta pada Khamis sekali gus menamatkan keahliannya dalam parti itu yang disertainya sekian lama.

Dalam kenyataan terbuka di laman Facebooknya, beliau menyatakan keputusan tersebut dibuat tanpa sebarang paksaan atau pertimbangan berat, sebaliknya sebagai pendirian peribadi yang telah diputuskan.

“Tanpa berat hati, saya umum keluar UMNO serta merta mulai hari ini 25 Jun 2026. Oleh itu UMNO tidak perlu bersusah payah memecat saya,” katanya.

Scroll to Top