KLDEX hab durian terbesar Asia! Himpunkan sejarah, budaya dan cita rasa Malaysia

KLDEX hab durian terbesar Asia! Himpunkan sejarah, budaya dan cita rasa Malaysia

Malaysia bakal mempunyai sebuah hab pengalaman durian terbesar di Asia apabila Kuala Lumpur Durian Experience Centre (KLDEX) dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 4 Julai 2026.

Disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta Tourism Malaysia, KLDEX diwujudkan sebagai hab pendidikan, budaya dan pelancongan yang menghimpunkan pelbagai aspek berkaitan durian Malaysia di bawah satu bumbung.

KLDEX diasaskan bersama oleh Ang Kean Wee dan Edison Ang Wei Phang, serta dibangunkan oleh syarikat runcit dan eksport durian tempatan, MyBolehBoleh yang aktif mempromosikan durian Malaysia ke pasaran antarabangsa sejak penubuhannya pada 2023.

Sebagai hab pengalaman durian bersepadu, KLDEX menawarkan perjalanan yang membawa pengunjung menelusuri sejarah, budaya dan perkembangan industri durian Malaysia menerusi koleksi arkib bersejarah, pameran interaktif serta kandungan imersif.

KLDEX hab durian terbesar Asia! Himpunkan sejarah, budaya dan cita rasa Malaysia

Pengunjung juga berpeluang menelusuri catatan awal mengenai durian yang direkodkan dalam sumber sejarah Eropah dan China, sekali gus memberikan perspektif lebih luas terhadap buah ikonik yang sinonim dengan identiti Malaysia itu.

Selain galeri sejarah, KLDEX turut menampilkan zon pengalaman dusun durian yang direka bagi memberi suasana seolah-olah berada di dusun sebenar.

Melalui ruang ini, pengunjung dapat memahami ekosistem dusun, kaedah penanaman serta persekitaran semula jadi yang menyumbang kepada penghasilan durian berkualiti.

Galeri muzium yang disediakan turut mengetengahkan pelbagai kisah yang jarang didokumentasikan termasuk sejarah kemunculan varieti popular seperti D24, Musang King dan Black Thorn, selain memperkenalkan individu yang memainkan peranan penting dalam mempopularkan varieti tersebut kepada masyarakat.

Menurut Edison Ang, antara matlamat utama KLDEX adalah untuk memelihara dan mendokumentasikan warisan durian Malaysia secara lebih tersusun agar tidak hilang ditelan zaman.

“Walaupun durian Malaysia terkenal di seluruh dunia, banyak kisah di sebalik varieti tempatan yang masih kurang diketahui. Kami mahu memastikan sejarah dan warisan ini dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya baru-baru ini.

Selain itu, KLDEX turut menawarkan pengalaman hiburan menerusi sebuah teater imersif yang menggabungkan elemen drama, koreografi, rap dan muzik bagi memperkenalkan budaya durian Malaysia dalam pendekatan yang lebih segar dan mudah difahami oleh pengunjung tempatan serta antarabangsa.

Di bahagian bawah galeri muzium pula, terdapat ruang runcit serta makanan dan minuman yang menawarkan pelbagai produk berasaskan durian dan cenderamata eksklusif.

Antara yang ditawarkan termasuk tart durian, kopi durian dan pelbagai pilihan lain yang menampilkan keunikan cita rasa tempatan.

Pembukaan KLDEX dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan berasaskan durian, selain menambah tarikan baharu kepada industri pelancongan negara.

Pada masa sama, KLDEX turut merancang untuk memperkenalkan pakej lawatan dusun durian yang dikurasi khas pada masa hadapan, membolehkan pengunjung merasai sendiri pengalaman menyeluruh industri durian Malaysia, daripada dusun sehingga ke meja hidangan.

Scroll to Top