Hannah jamin perkhidmatan penduduk Setiawangsa tidak terjejas

Hannah jamin perkhidmatan penduduk Setiawangsa tidak terjejas

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh memberi jaminan urusan melibatkan penduduk Setiawangsa kekal berjalan lancar meskipun kerusi Parlimen kawasan itu dikosongkan oleh penyandangnya, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurutnya, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud telah diminta membantu memperkukuhkan peranan Pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Cawangan Setiawangsa dalam menangani isu setempat termasuk aduan dan keperluan penduduk.

Ini termasuk penambahan tenaga kerja bagi mempercepatkan tindakan di lapangan sepanjang tempoh ini, katanya.

“Saya merujuk kepada pengumuman Nik Nazmi untuk mengosongkan kerusi Ahli Parlimen Setiawangsa. Saya mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau kepada warga Kuala Lumpur sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab, saya ingin memberi keyakinan kepada penduduk Setiawangsa bahawa perkhidmatan di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan akan terus berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam satu kenyataan.

Hannah berkata, penduduk boleh hadir mengemukakan aduan melalui Pejabat DBKL Cawangan Setiawangsa

D’Wangsa, 1, Jalan Wangsa Delima 13, Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur atau hubungi pejabat tersebut di talian 03-4142 2740 atau e-mel: pcsw.dbkl@gmail.com

“Saya juga akan bekerjasama dengan semua pihak bagi meneruskan usaha melindungi dan memelihara Bukit Dinding agar ia kekal sebagai paru-paru hijau Kuala Lumpur untuk manfaat penduduk setempat,” jelasnya.

Pada Ahad, Nik Nazmi dan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan keluar PKR serta mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing.

Dalam pengumuman hala tuju baharu politik mereka, kedua- dua bekas menteri itu akan mengambil alih dan menyertai Parti Bersama Malaysia sebagai platform politik baharu.

Scroll to Top