khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh hari ini tampil menjawab di Dewan Rakyat mengenai pendedahan Arena Metro mengenai isu ‘atlet poket bocor’, yang mendedahkan 88 peratus atlet pelapis negara tidak mempunyai pekerjaan tetap, malah hidup bergantung kepada wang hadiah atau tajaan bersifat sementara.
Hannah menerusi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 Peringkat Dasar bagi kementeriannya berkata, majoriti responden menerusi dapatan kajian dibuat oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) itu terdiri daripada atlet bola sepak peringkat negeri.
“Pihak Majlis Sukan Negara (MSN) tidak mempunyai kuasa dan kapasiti untuk menangani isu yang berlaku di peringkat negeri.
“Hal ini kerana tanggungjawab MSN tertumpu kepada pengendalian atlet serta pengurusan atlet dalam sukan berprestasi tinggi melalui Program Podium dan Program Pelapis Kebangsaan,” katanya hari ini.
Baru-baru ini, Afnan Hamimi Taib Azamuddin (PN-Alor Setar) membawakan isu laporan eksklusif Arena Metro yang membongkar kisah pilu ‘atlet poket bocor’ ke Dewan Rakyat.
Menerusi laporan ekslusif Arena Metro mendedahkan, 88 peratus atlet pelapis negara tidak mempunyai pekerjaan tetap, malah hidup bergantung kepada wang hadiah atau tajaan yang datang hanyalah sementara.
Lebih merisaukan, 33 peratus daripada mereka tidak memiliki simpanan kecemasan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk digunakan ketika terdesak iaitu jauh sekali mampu bertahan jika hilang punca pendapatan secara tiba-tiba.
Menyentuh isu simpanan kecemasan, Hannah berkata, sejak Kerajaan MADANI mengambil alih, pihaknya telah menggantikan kontrak latihan sedia ada dan memberi tumpuan kepada kebajikan terutamanya penyediaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PERKESO.
Menurutnya, bagi tahun 2025, lebih RM1.6 juta caruman majikan bagi KWSP dan PERKESO telah dicarum membabitkan 370 orang atlet di bawah Program Podium.
“Bagi atlet Program Pelapis, Kerajaan Madani telah mula caruman Perkeso pada tahun ini (iaitu) sebanyak RM16,626 membabitkan caruman majikan sebanyak 1.75 peratus telah dicarum bagi 280 orang atlet di bawah Program Pelapis Kebangsaan.
“Ini adalah berdasarkan kadar khas dengan kerjasama strategik PERKESO memandangkan atlet pelapis hanya menerima kadar elaun asas,” katanya.
Hannah juga memaklumkan, Skim Kebajikan Atlet Kebangsaan yang juga skim kebajikan telah diwujudkan sejak tahun 1998 bagi membantu kebajikan atlet yang masih aktif.
“Bantuan yang diberikan meliputi bantuan rawatan perubatan, bantuan khairat kematian dan bantuan bencana alam yang dihadapi oleh atlet.
“Insurans berkelompok di bawah skim perlindungan kemalangan dan diri berkelompok turut disediakan kepada semua atlet yang dilatih di bawah program kebangsaan.
“Skim ini melindungi atlet daripada risiko kemalangan, kecederaan dan kehilangan upaya kekal semasa latihan atau penyertaan kejohanan,” katanya.
Selain itu, Hannah berkata, Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) turut menyediakan peluang pendidikan lebih luas dan fleksibel melalui kerjasama bersama institusi pengajian tinggi awam dan swasta bagi membantu atlet.
“Usaha ini merangkumi penyediaan kemudahan seperti tawaran biasiwa serta penyesuaian struktur program pengajian bagi memastikan atlet dapat menyeimbangkan komitmen latihan dan akademik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
