Hantavirus: Rakyat enam negara terlibat wabak atas kapal

Hantavirus: Rakyat enam negara terlibat wabak atas kapal

BERIKUT ialah ringkasan negara yang mempunyai kes disahkan atau kemungkinan kes melibatkan rakyat mereka yang dijangkiti Hantavirus selepas wabak berlaku di kapal persiaran MV Hondius.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setakat ini lapan kes telah disahkan dan dua lagi diklasifikasikan sebagai kemungkinan kes.

Tiga individu telah meninggal dunia, dengan dua daripadanya disahkan positif hantavirus dan satu lagi dikategorikan sebagai kemungkinan kes.

Pihak berkuasa kesihatan turut menyiasat beberapa lagi kes disyaki serta kontak rapat individu yang dijangkiti.

Belanda

Dua rakyat Belanda dari kapal tersebut telah meninggal dunia akibat virus itu, manakala seorang lagi disahkan dijangkiti.

Pasangan warga Belanda yang mengembara di Amerika Selatan sebelum menaiki kapal di Ushuaia, Argentina pada 1 April merupakan korban pertama.

Suami berusia 70 tahun itu mula menunjukkan simptom pada 6 April dan meninggal dunia pada 11 April. Mayatnya dibawa keluar dari kapal ketika persinggahan di Saint Helena, sebuah pulau di selatan Lautan Atlantik, antara 22 hingga 24 April.

Tiada ujian Hantavirus dijalankan terhadapnya dan WHO menganggap beliau sebagai kemungkinan kes.

Isterinya yang berusia 69 tahun turut meninggalkan kapal di Saint Helena kerana tidak sihat. Keadaannya semakin merosot ketika penerbangan ke Johannesburg pada 25 April dan beliau meninggal dunia di hospital sehari kemudian. Jangkitan Hantavirus disahkan pada 4 Mei.

Kes ketiga melibatkan doktor kapal tersebut yang melaporkan simptom pada 30 April. Ujian menunjukkan beliau positif strain Andes pada 6 Mei.

Beliau dipindahkan ke Belanda pada hari sama selepas kapal singgah di Cape Verde dan dilaporkan stabil ketika menerima rawatan dalam pengasingan.

Britain

Dua warga Britain disahkan dijangkiti dan seorang lagi dikategorikan sebagai kemungkinan kes.

Seorang lelaki Britain jatuh sakit pada 24 April dengan simptom demam dan radang paru-paru sebelum dipindahkan tiga hari kemudian dari Pulau Ascension di Atlantik ke Afrika Selatan untuk rawatan rapi.

Kes beliau disahkan sebagai Hantavirus pada 2 Mei dan penjujukan genetik mengesahkan ia strain Andes.

Seorang lagi lelaki Britain yang bekerja sebagai pemandu pelancong di kapal mula mengalami simptom pada 27 April dan disahkan positif pada 6 Mei.

Beliau dipindahkan ke Belanda pada 7 Mei dari Cape Verde dan berada dalam keadaan stabil ketika dirawat dalam pengasingan.

Seorang lelaki Britain ketiga meninggalkan Hondius pada 14 April di Kepulauan Tristan da Cunha di Atlantik Selatan dan dirawat dalam pengasingan di sana.

Beliau melaporkan simptom pada 28 April. WHO mengklasifikasikan beliau sebagai kemungkinan kes sementara menunggu keputusan makmal.

Menurut menteri Britain, anggota payung terjun tentera dan petugas perubatan Britain dikerahkan ke pulau itu untuk menghantar bekalan perubatan kecemasan kepadanya.

Jerman

Seorang wanita Jerman yang mengalami demam pada 28 April sebelum kemudian mendapat radang paru-paru meninggal dunia pada 2 Mei di atas kapal.

Sampel bedah siasat dihantar ke Belanda bersama pesakit yang dipindahkan dan ujian mengesahkan jangkitan virus strain Andes.

Mayatnya masih berada di atas Hondius yang dijadualkan berlepas ke Belanda dari Pulau Tenerife, Sepanyol lewat Isnin.

Switzerland

Seorang lelaki Switzerland turun dari Hondius di Saint Helena pada 22 April dan terbang ke Switzerland pada 27 April melalui Afrika Selatan dan Qatar.

Beliau mula mengalami simptom pada 1 Mei selepas tiba di Switzerland. Beliau dirawat dalam pengasingan dan disahkan positif strain Andes pada 5 Mei.

Perancis

Seorang wanita Perancis yang dibawa pulang dari Hondius mula berasa tidak sihat lewat 10 Mei dan disahkan positif Hantavirus, kata Menteri Kesihatan Perancis, Stephanie Rist.

Amerika Syarikat

Seorang daripada 17 rakyat Amerika Syarikat (AS) yang dibawa pulang dari kapal tersebut didapati PCR positif ringan untuk virus itu, manakala seorang lagi mengalami simptom ringan, menurut Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia AS pada 10 Mei.

Sumber: AFP

Scroll to Top