am@hmetro.com.my
Batu Kawan: Hanya sekitar 1,400 penjawat awam tidak menandatangani Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) selepas tempoh opsyen selama 40 hari berakhir pada 30 November lalu.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, jumlah itu kecil berbanding keseluruhan 1.5 juta penjawat awam ketika ini.
Menurutnya, penjawat awam yang tidak memilih opsyen itu mungkin sudah membuat pertimbangan sewajarnya.
“Dalam hal ini (penjawat awam yang tidak memilih SSPA), kita tidak memaksa kerana percaya mereka ada pertimbangan khusus.
“Namun, kerajaan sentiasa mengadakan sesi libat urus bagi memastikan mereka tidak menyesal di kemudian hari,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kampung Angkat Madani JPA di Pulau Aman, di sini, hari ini.
Katanya, beliau sudah melaporkan perkembangan SSPA itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat jawatankuasa kabinet baru-baru ini.
“Perdana Menteri gembira dengan pencapaian ini dan pihak kami mengucapkan tahniah serta syabas kepada pasukan yang melaksanakan program SSPA dengan baik,” katanya.
Wan Ahmad Dahlan turut menegaskan tiada lanjutan atau pembukaan semula tawaran untuk penjawat awam yang ingin menandatangani opsyen selepas tarikh akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




