Manchester: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim berkata, hanya keputusan perlawanan yang boleh menutup mulut pengkritik menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Sunderland yang mungkin menentukan masa depannya di kelab itu.
Amorim hanya mengumpul 34 mata daripada 33 perlawanan EPL sejak mengambil alih jawatan di Old Trafford pada November lalu.
Kegagalan untuk menewaskan Sunderland, yang baru dinaikkan ke EPL dan kini berada di tangga kelima liga malam esok mungkin menjadi titik terakhir kesabaran pengurusan tertinggi United, terutamanya menjelang rehat antarabangsa selama dua minggu.
Selepas menamatkan musim lalu di tempat ke-15, musim terburuk United sejak penyingkiran mereka pada 1974, Amorim diberikan sokongan dalam bentuk pelaburan lebih £200 juta pada pasaran perpindahan.
Namun, setakat ini, tidak banyak tanda-tanda peningkatan, dengan Red Devils kini hanya menghuni tangga ke-14 selepas enam perlawanan musim baharu.
“Anda tidak boleh lari daripada keputusan, dan anda juga memikul beban daripada musim lepas,” kata Amorim dalam sidang media pra-perlawanan hari ini.
“Musim lepas bagi saya, tidak penting.”
Keengganan Amorim untuk mengubah formasi kegemarannya, 3-4-3, dikritik hebat oleh ramai penganalisis, termasuk bekas kapten United Gary Neville dan penjaring gol terbanyak kelab sepanjang zaman, Wayne Rooney.
Pengurus berusia 40 tahun itu berkata tidak ada gunanya menjawab kritikan secara terbuka, kerana yang penting sekarang ialah mendapatkan keputusan positif untuk menyelamatkan jawatannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




