London: Alejandro Garnacho meraih jutaan pound hasil hak imej, semuanya gara-gara gaya rambut peliknya yang tular di internet.
Bintang Argentina berusia 21 tahun itu, yang kini beraksi bersama Chelsea, menjadi sensasi media sosial kerana potongan rambut unik diinspirasikan daripada watak Harry Potter dan siri Peaky Blinders.
Menurut laporan kewangan terkini, Garnacho mengaut kira-kira £3.5 juta (RM19.8 juta) daripada hak imej dan penajaan sepanjang 2024 ketika masih bersama Manchester United, iaitu bersamaan £300,000 (RM1.7 juta) sebulan atau kira-kira £10,000 (RM56,700) sehari.
Menariknya, meskipun berpendapatan besar, dia hanya membelanjakan £37,595 (RM213,000) untuk sebuah kereta baharu, dipercayai sebagai bayaran pendahuluan bagi sebuah Audi yang dilihat dipandunya baru-baru ini.
Garnacho berhijrah ke Chelsea dengan yuran perpindahan £40 juta (RM226.9 juta) pada musim panas lalu dan menikmati kenaikan gaji daripada £50,000 (RM283,600) kepada £90,000 (RM510,500) seminggu.
Selain kontrak lumayan itu, pemain sayap lincah berkenaan turut menikmati tajaan daripada beberapa jenama besar termasuk Nike.
Setakat ini, Garnacho sudah membuat enam penampilan bersama kelab baharunya, namun masih belum mencatat sebarang jaringan atau bantuan gol di bawah kendalian Enzo Maresca.
Dalam aksi menentang Nottingham Forest yang berakhir dengan kemenangan 3-0, Garnacho diturunkan dalam kesebelasan utama tetapi gagal menyerlah.
© New Straits Times Press (M) Bhd



