Hanya kita di sini yang selalu agungkan karya luar – Sharnaaz

Hanya kita di sini yang selalu agungkan karya luar – Sharnaaz

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Sharnaaz Ahmad, 40, tidak terfikir untuk melebarkan kerjaya seninya di negara jiran termasuk Indonesia kerana lebih memilih untuk memartabatkan industri hiburan tanah air.

Menurut Sharnaaz atau nama sebenarnya, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, dia sangat sayangkan industri seni tanah air dan percaya karya penggiat tempatan juga mampu pergi jauh sehingga ke luar negara.

“Saya akan kekal di sini (Malaysia) dan mahu terus majukan industri seni tempatan sebelum saya mati. Jadi, kenapa kita perlu bergagah nak berlakon hingga ke Indonesia?

“Tapi, itu hak dan pilihan masing-masing. Cuma, untuk saya sendiri tidak akan tinggalkan filem Malaysia dan industri seni kita semata-mata nak cari rezeki di sana.

“Hebat sangat ke mereka? (industri negara jiran). Maaf, sebab terpaksa mengatakan hal ini kerana saya sayang industri saya,” katanya kepada Harian Metro ditemui baru-baru ini.

Pelakon watak ‘villain’ dalam filem Polis Evo 3 ini turut menyifatkan penonton filem kita juga sangat baik apabila bersikap terlalu terbuka dalam menerima kehadiran apa saja genre filem dari luar.

“Kita ini terlampau agungkan filem dari luar. Orang kita sendiri yang buat benda itu. Siapa mereka? (produk filem luar), kalian rasa mereka kisah terhadap karya kita? Mereka tak kisah pun.

“Cuba bawa filem kita jual di sana (negara jiran), mereka hanya buka panggung kecil saja. Tapi, kenapa mereka tidak hormati karya kita? Hanya kita di sini yang selalu agungkan karya luar.

“Contohnya filem Sheriff: Narko Intergriti sebelum ini, hanya satu panggung saja disediakan di sana. Tetapi bila karya mereka ke sini, buka semua panggung untuk mereka,” katanya lantang meluah pendapat.

Ujar bapa tunggal seorang anak ini, industri kita mampu pergi jauh ke depan dan karya-karya tempatan juga mempunyai kualiti tinggi serta mampu bersaing di persada antarabangsa sekiranya mendapat peluang dan ruang.

Sharnaaz yang kini meledak di pawagam dengan filem Blood Brothers: Bara Naga bersyukur terhadap penerimaan luar biasa penonton tempatan pada filem aksi arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Candra itu.

Blood Brothers mencatat kutipan ‘box office’ sebanyak lebih RM70 juta selepas berada di pawagam selama 25 hari, termasuk dua tayangan awal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top