am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pesara kerugian hampir setengah juta ringgit selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan dalam talian yang tidak wujud, sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa mengalami kerugian RM459,000 selepas menyertai satu pelaburan melalui WhatsApp.
“Mangsa yang menetap di Taman Suria di sini memaklumkan menerima tawaran pelaburan dan pembelian saham sebuah syarikat antarabangsa sekitar Disember 2024. Tawaran itu dihantar melalui nombor WhatsApp.
“Mangsa lelaki tempatan berusia 73 tahun itu memaklumkan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang didakwa mengajar cara urus niaga saham menggunakan aplikasi dalam talian.
“Suspek mendakwa pelaburan itu beroperasi di Malaysia dan China, serta menjanjikan pulangan keuntungan antara 10 hingga 200 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Raub, mangsa tertarik dengan tawaran itu dan membuat 23 transaksi pindahan wang secara dalam talian dari akaun banknya ke 10 akaun bank berbeza antara 10 Januari hingga 17 April lalu.
“Mangsa pada awalnya menerima pulangan sebanyak RM18,360, menyebabkan dia yakin dan terus membuat pelaburan tambahan.
“Bagaimanapun, selepas diminta membayar ‘wang proses’ untuk mengeluarkan keuntungan seterusnya, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila bayaran itu tidak menghasilkan sebarang pulangan.
“Siasatan awal mendapati akaun-akaun bank yang terbabit pernah digunakan dalam kes penipuan sebelum ini,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




