Hanya resort, chalet terjejas teruk ditutup sementara di Janda Baik

KUANTAN: Kawasan pelancongan di Janda Baik di Bentong, dekat sini tidak akan ditutup sepenuhnya kepada pelancong sebaliknya hanya chalet dan resort yang rosak teruk akibat banjir terpaksa ditutup buat sementara waktu. 

Berdasarkan rekod dimiliki Tourism Pahang, sebanyak 33 daripada 54 chalet dan resort pelbagai kategori mengalami kerosakan dalam fenomena kepala air yang melanda kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, kerajaan negeri akan meneruskan aktiviti pelancongan ‘This Is Pahang’ pada tahun ini dengan memberi tumpuan kepada kawasan pelancongan yang tidak terjejas banjir termasuk di Janda Baik. 

“Dalam lawatan saya di Pulau Santap di Janda Baik semalam, apa yang saya nyatakan adalah setakat ini pengusaha di Janda Baik dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM12 juta bagi tempoh empat bulan kerana pembatalan tempahan oleh pelancong.

“Ekoran banjir, pelancong yang membuat tempahan membatalkan hasrat mereka ke Janda Baik yang turut melibatkan tempahan bulan April dan Mei tahun ini. 

“Disebabkan itu, saya meminta kerajaan Pusat supaya memberikan perhatian khusus dalam usaha membaik pulih kemudahan asas di Janda Baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mohd. Sharkar berkata, kerajaan Pusat wajar mempertimbangkan peruntukan khas kepada pengusaha chalet dan resort yang terjejas teruk dalam kejadian banjir lumpur di Janda Baik.

Katanya, boleh dikatakan pengusaha chalet atau resort yang terjejas teruk perlu bermula dari awal, termasuk kerja pembinaan semula chalet mereka.

“Jadi, ia bukan sahaja mengambil masa, tapi turut memerlukan peruntukan atau modal yang besar dan disebabkan itu, kita harap kerajaan boleh menyediakan peruntukan khas atau menawarkan pinjaman yang fleksibel untuk mereka.

“Saya juga minta supaya proses baik pulih infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan yang rosak disegerakan kerana ia kemudahan paling asas bagi memudahkan pengunjung kembali mengunjungi Janda Baik,” katanya. 

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa chalet dan resort yang tidak terjejas banjir boleh dikunjungi oleh pelancong kerana kerajaan negeri tidak menutup Janda Baik daripada dikunjungi oleh orang ramai. 

“Hanya lokasi terjejas teruk seperti di Pulau Santap merupakan kawasan awam yang paling teruk terjejas melibatkan kerugian sebanyak kira-kira RM5 juta. Ini kerana kawasan terbabit perlu dibaik pulih terlebih dahulu sebelum kembali beroperasi,” katanya. – UTUSAN