Harap lampu hijau MKN

Kuala Lumpur: Biarpun kebenaran rentas daerah di semua negeri sudah bermula Jumaat lalu, perniagaan pengusaha yang terbabit dengan pelancongan kelihatan masih suram.

Pengerusi Homestay Ayer Limau Zohaime Muhamad Sori berkata, tempahan bagi inap desa miliknya masih tiada perubahan.

Katanya, ini berikutan dia melihat pasaran pada masa sekarang lebih tertumpu kepada rentas negeri.

“Susulan kebenaran rentas daerah yang diumumkan pihak berkuasa, secara keseluruhannya tempahan untuk inap desa masih tiada perubahan.

“Malah, kami pengusaha inap desa berharap agar kerajaan segera membuka sempadan negeri bagi merancakkan semula industri pelancongan tempatan,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Bagaimanapun, Zohaime berkata, sebagai pengusaha dia sentiasa menawarkan promosi penginapan inap desa menerusi platform digital.

“Kita faham selalunya pelanggan yang menginap di inap desa ini terdiri dalam kalangan berkeluarga dan begitulah kebiasaannya sebelum pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya.

Turut mengalami situasi yang sama, bagi pemilik rangkaian Hotel Zamsaham Norizam Tukiman berkata, jualan masih sangat teruk daripada 40 hotel yang dimilikinya di seluruh negara.

“Dari segi tempahan, kami belum ada perubahan ketara kerana boleh dikatakan jualan tidak begitu memberangsangkan.

“Malah, kadar penginapan di Hotel Zamsaham kurang lima peratus bagi sesetengah hotel kami,” katanya.

Norizam berkata, pihaknya begitu mengharap supaya sempadan antarabangsa dan negeri dapat dibuka agar negara boleh menerima kemasukan pelancong asing.

“Namun begitu, semua pemain industri masih menunggu ‘lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kami juga berharap jualan akan lebih baik menjelang musim perayaan Aidilfitri nanti.

“Mungkin akan ada kenaikan tapi sudah pasti belum begitu ketara dibandingkan jika pembukaan sempadan dibolehkan kelak,” katanya.

Leave a Comment