PETALING JAYA: Harga emas merosot ke paras terendah tahun ini, apabila pelabur menjual logam bernilai itu di tengah-tengah serangan Amerika Syarikat (AS) dan Iran serta mencari tempat lain untuk perlindungan daripada risiko inflasi yang diperbaharui.
Harga emas spot susut 0.41 peratus kepada AS$4,116.90 seauns (RM538.05 segram) pada pukul 5 petang semalam, selepas mencecah paras terendah sejak 21 November pada awal dagangan.
Secara keseluruhan, harga jongkong emas telah jatuh lebih daripada 22 peratus sejak mencapai paras tertinggi sekitar AS$5,500 seauns (RM719.85 segram) pada akhir Januari, dan turun lebih daripada 20 peratus sejak serangan AS pertama ke atas Iran pada akhir Februari.
Penganalisis ekonomi UniKL, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kejatuhan harga emas ke paras terendah dalam tempoh lebih enam bulan walaupun ketegangan geopolitik di Asia Barat semakin memuncak menunjukkan pasaran kini lebih memberi tumpuan kepada prospek kadar faedah AS berbanding risiko konflik.
Katanya, keadaan itu berbeza daripada kebiasaan apabila serangan AS ke atas Iran lazimnya mendorong kenaikan harga minyak dan emas serentak berikutan permintaan terhadap aset selamat.
“Pasaran sudah berubah. Jika dahulu geopolitik menjadi pemacu utama harga emas, kini faktor kadar faedah dan pulangan sebenar bon AS lebih dominan.
“Musuh utama emas ketika ini bukan perang, tetapi kadar faedah yang tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, kenaikan harga minyak akibat konflik di Asia Barat meningkatkan kebimbangan inflasi, sekali gus menguatkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS akan mengekalkan dasar monetari yang ketat.
Beliau berkata, peningkatan pulangan sebenar bon kerajaan AS menjadikan aset pendapatan tetap lebih menarik berbanding emas yang tidak menawarkan pulangan dalam bentuk dividen atau faedah.
Mengulas prospek jangka pendek, Aimi Zulhazmi berkata, harga emas dijangka terus berdepan tekanan sekiranya harga minyak kekal tinggi dan Fed dijangka mengekalkan kadar faedah semasa.
“Dalam tempoh satu hingga tiga bulan akan datang, sentimen terhadap emas dijangka kekal berhati-hati. Harga berkemungkinan bergerak dalam julat AS$4,000 hingga AS$4,100 seauns,” katanya.
Sementara itu, Profesor Ekonomi di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Siong Hook berkata, penurunan harga emas ketika ini lebih cenderung bersifat pembetulan pasaran berbanding petunjuk bahawa trend kenaikan jangka panjang telah berakhir.
Jelasnya, harga emas telah mencatatkan kenaikan yang sangat kukuh dan mencapai paras yang sangat tinggi dalam sejarah, menjadikan aktiviti pengambilan untung oleh pelabur merupakan perkara biasa dalam mana-mana pasaran kewangan.
“Bagi baki tahun 2026, prospek harga emas dijangka kekal positif secara berhati-hati, tetapi dalam keadaan yang lebih tidak menentu berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Dari sudut sokongan harga, ketegangan geopolitik di Asia Barat masih tinggi dan berpotensi meningkat pada bila-bila masa. Sebarang gangguan terhadap bekalan tenaga global atau konflik yang semakin meluas boleh meningkatkan permintaan terhadap aset selamat termasuk emas.
“Selain itu, banyak bank pusat di seluruh dunia, khususnya di negara-negara membangun, masih meneruskan strategi mempelbagaikan rizab antarabangsa mereka. Pembelian emas oleh bank-bank pusat sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menjadi salah satu faktor utama yang menyokong harga emas pada paras tinggi,” jelasnya.
Namun demikian, beliau berkata, terdapat juga beberapa risiko penurunan jika ekonomi AS kekal kukuh, inflasi terus tinggi dan Fed mengekalkan kadar faedah yang tinggi lebih lama daripada jangkaan pasaran. – UTUSAN




