Tidak lelah bertanding bagi mencapai impian terbaik di luar negara

Tidak lelah bertanding bagi mencapai impian terbaik di luar negara

asyikin.mat@hmetro.com.my

BERMULA dengan minat mendalam terhadap watak adiwira ketika kecil, ia menjadi titik permulaan Muhamad Farhan Asyraf Omar, 29, dalam dunia cosplay sebagai pemain dan pembuat kostum.

Setakat ini, Muhamad Farhan sudah menghasilkan hampir 100 kostum adiwira pelbagai watak.

Bahkan, dia juga hampir 20 kali ‘menawan’ pentas juara dalam pertandingan cosplay disertainya termasuk peringkat antarabangsa.

Muhamad Farhan berkata, kali pertama dia menghadiri program cosplay ialah pada 2019, sekadar untuk melihat aktiviti yang berlangsung dalam acara berkenaan.

Menurutnya, persembahan peserta yang tampil dengan pelbagai kostum dan lakonan watak di atas pentas menarik perhatiannya.

“Ia menimbulkan keinginan untuk mencuba sebelum saya memberanikan diri menyertai pertandingan.

“Sejak itu saya aktif menyertai pelbagai pertandingan cosplay di seluruh negara.

“Saya sanggup membuat penyelidikan di Internet untuk mempelajari cara membuat kostum.

“Saya juga mengkaji jenis material yang sesuai digunakan supaya hasilnya lebih kemas dan menyerupai watak sebenar,” katanya.

Menurutnya, dia belajar cara membuat perisai, kostum, senjata dan pelbagai kelengkapan lain secara berperingkat.

“Antara kostum adiwira yang saya hasilkan ialah ‘Kamen Rider Gatack’, ‘Kamen Rider Kuuga’ dan ‘Kamen Rider Agito’.

“Kebanyakan watak dipilih adalah daripada siri Kamen Rider kerana ia mempunyai nilai sentimental yang dekat dengan diri saya.

“Saya membesar dengan menonton siri itu dan sejak kecil memang teringin menjadi watak berkenaan.

“Saya juga suka melakukan aksi, jadi apabila berada di atas pentas pertandingan cosplay, saya dapat menampilkan aksi dan karakter yang diminati,” katanya.

Menurutnya, terdapat beberapa watak yang memerlukan tahap ketelitian sangat tinggi dalam penghasilan kostum.

“Antara kostum paling sukar pernah dihasilkan ialah ‘Kamen Rider Dark Kiva’ yang mengambil masa hampir dua bulan untuk disiapkan,” katanya.

Muhamad Farhan berkata, dia turut menyertai pertandingan bertaraf antarabangsa yang diadakan di Malaysia seperti ‘Animangaki’ dan ‘Comic Fiesta’.

Katanya, kedua-dua acara itu antara festival cosplay terbesar di Asia yang menghimpunkan peserta pelbagai negara.

“Walaupun sudah mencapai banyak kejayaan, saya masih menyimpan impian besar dalam dunia cosplay.

“Saya mahu menyertai pertandingan berprestij dunia iaitu ‘World Cosplay Summit’ (WCS) yang diadakan di Jepun,” katanya.

Tambahnya, faktor kewangan dan persediaan menjadi cabaran utama untuk merealisasikan impian itu.

“Pertandingan peringkat dunia memerlukan persiapan yang sangat rapi, terutama daripada segi penghasilan kostum dan persembahan.

“Saya berharap dapat mewakili negara dan beraksi di pentas WCS satu hari nanti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top