Boston: Haiti menerima tamparan hebat menjelang kempen Piala Dunia apabila pemain tengah mereka, Leverton Pierre disahkan terlepas keseluruhan kejohanan akibat kecederaan otot aduktor kanan.
Perkembangan itu diumumkan oleh Persekutuan Bolasepak Haiti yang mengesahkan Pierre tidak sempat pulih untuk menyertai skuad kebangsaan di pentas terbesar bola sepak dunia itu.
“Leverton Pierre tidak akan dapat beraksi di Piala Dunia selepas pasukan perubatan mengesan kecederaan pada otot aduktor kanannya,” menurut kenyataan rasmi badan induk berkenaan.
Sebagai pengganti, Haiti memanggil pertahanan tengah, Garven Metusala yang kini beraksi bersama kelab divisyen kedua Amerika Syarikat (AS), Colorado Springs Switchbacks dalam Kejohanan USL.
Kehilangan Pierre dijangka memberi kesan kepada perancangan Haiti yang bakal memulakan saingan Kumpulan C menentang Scotland, Ahad ini.
Selepas itu, Haiti akan berdepan cabaran lebih getir apabila dijadual menentang juara dunia lima kali, Brazil dan Maghribi.
Haiti kembali beraksi di pentas Piala Dunia buat kali kedua dalam sejarah selepas penampilan sulung mereka pada edisi 1974.
© New Straits Times Press (M) Bhd




