Hari Cuci Malaysia diangkat sebagai program nasional

Hari Cuci Malaysia diangkat sebagai program nasional

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jemaah Menteri bersetuju mengangkat Hari Cuci Malaysia pada Sabtu terakhir September sebagai program nasional, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Nga berkata, penganjuran Hari Cuci Malaysia tahun ini berkonsepkan ‘seluruh negara’ dengan pembabitan menyeluruh daripada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, pihak berkuasa negeri dan tempatan, institusi pendidikan, syarikat pembersihan, perumahan, swasta, NGO serta masyarakat umum.

Beliau berkata, Hari Cuci Malaysia 2025 peringkat Kebangsaan akan berlangsung di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson, Negeri Sembilan, Sabtu ini.

Katanya, Sambutan Hari Cuci Malaysia akan turut dilaksanakan secara serentak di pelbagai lokasi lain di seluruh negara.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Hari CuciMalaysia 2025 menyasarkan untuk mencatatkan dua rekod nasional baharu dalam The Malaysian Book of Records (MBOR).

“Rekod pertama adalah bagi penyertaan gotong royong teramai dengan 100,000 peserta serentak di seluruh negara. Rekod kedua adalah bagi pengumpulan minyak masak terpakai terbanyak di seluruh Malaysia dalam sehari iaitu sekurang-kurangnya 3,000 kilogram (kg),” katanya ketika sidang media pada majlis pra-pelancaran Hari Cuci Malaysia 2025 di Pasar Seni, hari ini.

Beliau juga meminta orang awam yang ingin menyertai program itu mendaftar melalui kod QR yang akan diedarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan masing-masing.

Katanya, bagi mereka yang tidak mempunyai telefon pintar, pendaftaran secara manual menggunakan borang juga disediakan.

“Hari Cuci Malaysia bukan sahaja menjadi platform memperkukuh semangat kesukarelawanan dan kebersamaan, malah memperlihatkan komitmen Malaysia terhadap kebersihan, kelestarian alam sekitar dan aspirasi global dalam menangani pencemaran sisa,” katanya.

Tahun lalu, pelaksanaan Hari Cuci Malaysia yang julung kali diadakan mencatatkan tiga rekod nasional baharu dalam MBOR.

Ia bagi bilangan penyertaan teramai seluruh negara iaitu 58,007 orang, jumlah kutipan sisa pepejal terbanyak dalam masa sehari iaitu 4,645.5 tan metrik dan pelaksanaan aktiviti gotong-royong terlama iaitu 12 jam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top