
Gambar kombo yang dikeluarkan oleh IRGC pada 3 April 2026 memaparkan kesan beberapa serangan yang berjaya dilakukan. Foto: Agensi
TEHERAN – Angkatan bersenjata Iran dilaporkan berjaya menembak jatuh sekurang-kurangnya dua jet pejuang serta beberapa dron dan peluru berpandu milik Amerika Syarikat (AS) dan Israel dalam tempoh sehari, yang disifatkan sebagai ‘hari hitam’ buat kedua-dua kuasa udara tersebut, lapor Press TV.
Menurut kenyataan rasmi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), operasi pemintasan dilakukan di beberapa wilayah Iran oleh sistem pertahanan udara bersepadu negara itu.
Pasukan Pertahanan Aeroangkasa IRGC dilaporkan berjaya memusnahkan dua peluru berpandu kruis di ruang udara Khomein dan Zanjan.
Selain itu, dua dron serangan MQ-9 ditembak jatuh di Isfahan, manakala sebuah dron Hermes dimusnahkan di Bushehr.
Dalam satu insiden berasingan, Iran turut mendakwa berjaya menembak jatuh sebuah jet pejuang canggih musuh di kawasan tengah negara itu, dengan usaha mencari juruterbang yang hilang masih dijalankan.
Pada hari yang sama, tentera Iran memaklumkan bahawa sebuah pesawat serangan A-10 milik AS ditembak jatuh di perairan selatan berhampiran Selat Hormuz selepas dikesan oleh sistem pertahanan udara sebelum terhempas ke Laut Teluk Parsi.
IRGC menegaskan bahawa keupayaan pertahanan udara Iran semakin kukuh dalam menghadapi serangan yang didakwa dilancarkan oleh gabungan AS-Israel sejak 28 Februari lalu.
Sehubungan itu, Iran terus melaksanakan serangan balas melalui Operasi Janji Benar 4, yang melibatkan gelombang serangan peluru berpandu dan dron ke atas sasaran ketenteraan Israel serta pangkalan AS di rantau Asia Barat.
Menurut Iran, setakat ini sebanyak 93 gelombang serangan telah dilancarkan, dengan lebih 150 dron musuh berjaya ditembak jatuh oleh rangkaian pertahanan udara bersepadu negara itu.
Iran juga mendakwa sebelum ini berjaya memintas jet pejuang siluman F-35 menggunakan sistem peluru berpandu inframerah, selain turut menjejaskan pesawat lain seperti F-15, F-16 dan F-18 dalam tempoh konflik berkenaan. – Agensi



