am@hmetro.com.my
Putrajaya: Orang ramai dinasihatkan tidak terikut-ikut fenomena ‘fear of missing out’ (FOMO) untuk mendapatkan MyKad generasi baharu pada hari pertama pelaksanaannya, sebaliknya membuat janji temu bagi mengelakkan menunggu lama.
Pengarah Bahagian Kad Pengenalan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Muhammad Asraf Sukadi berkata, pihaknya menerima sambutan menggalakkan pada hari pertama operasi MyKad baharu dengan jumlah pemohon meningkat kira-kira 60 peratus berbanding kebiasaan.
Katanya, setakat pagi tadi, lebih 300 permohonan direkodkan di JPN Putrajaya, berbanding sekitar 100 hingga 200 permohonan pada sebelah pagi pada hari biasa.
“Memang sambutan hari ini agak menggalakkan. Biasanya waktu pagi kita terima sekitar 100 hingga 200 orang, tetapi hari ini sudah lebih 300 orang.
“Peningkatan ini kira-kira 60 peratus berbanding kebiasaan. Bagaimanapun, setakat ini operasi berjalan lancar dan tiada masalah,” katanya ketika ditemui pada hari pertama operasi pengeluaran MyKad generasi baharu di JPN Putrajaya, hari ini.
Muhammad Asraf berkata, orang ramai tidak perlu tergesa-gesa mendapatkan MyKad baharu kerana tempoh penggantian masih panjang.
“Jangan kerana FOMO, semua orang datang serentak. Kita sudah menyediakan tempoh yang panjang untuk penggantian dan orang ramai boleh membuat janji temu terlebih dahulu.
“Boleh datang terus (walk-in) tetapi mungkin perlu menunggu lebih lama. Jadi kita galakkan orang ramai membuat janji temu,” katanya.
Beliau berkata, bagi urusan penggantian biasa di JPN Putrajaya, MyKad boleh disiapkan dalam tempoh kira-kira 30 minit sekiranya tiada masalah, manakala bagi kanak-kanak berusia 12 tahun, prosesnya mengambil purata kira-kira satu jam.
Muhammad Asraf berkata, MyKad baharu turut dilengkapi ciri keselamatan tambahan termasuk ‘transparency window’ di bahagian bawah kad yang sukar ditiru.
Katanya, kod QR pada kad berkenaan pula bukan untuk dibaca menggunakan kamera telefon awam atau bagi tujuan pembayaran, sebaliknya hanya boleh digunakan oleh agensi penguat kuasa, untuk mendapatkan maklumat dan tujuan pengesahan.
“Telefon biasa tidak boleh membaca QR itu. Ia bukan untuk pembayaran, tetapi bagi mendapatkan maklumat dan membantu penguat kuasa mengesahkan ketulenan pemegang kad,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, fungsi Touch ‘n Go tidak lagi disertakan pada MyKad baharu susulan perkembangan teknologi dan perubahan penggunaan perkhidmatan berkenaan.
Katanya, pengguna masih boleh menggunakan kad fizikal Touch ‘n Go atau aplikasi TNG eWallet bagi urusan berkaitan.
Mengulas kebimbangan mengenai penggunaan MyKad baharu untuk menerima subsidi, Muhammad Asraf berkata, kebanyakan rekod subsidi kini disimpan dalam sistem SARA dan BUDI, bukannya pada cip MyKad itu sendiri.
Bagaimanapun, katanya bagi mereka yang memerlukan MyKad baharu untuk digunakan serta-merta bagi urusan subsidi, penggantian perlu dibuat di antara 40 cawangan JPN yang ditetapkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

