London: Penyanyi rap terkenal Macklemore menyumbangkan pendapatan bersihnya daripada siri konsert jelajah Loop Tour bersama Ed Sheeran berjumlah AS$1 juta (kira-kira RM4.10 juta) kepada enam badan kebajikan yang menyokong rakyat Palestin.
Sumbangan itu dibuat selepas rappers asal Amerika Syarikat berkenaan digugurkan sebagai artis pembuka tirai bagi siri jelajah itu susulan kenyataannya mengenai nasib rakyat Palestin di Gaza.
Dalam hantaran di Instagram semalam, Macklemore atau nama sebenarnya Ben Haggerty berkata, beliau mahu mengembalikan tumpuan kepada rakyat Palestin yang masih terbunuh, hidup di bawah pendudukan tentera Israel dan berjuang demi kebebasan mereka.
“Saya akan menyumbangkan keseluruhan AS$1 juta (kira-kira RM4.10 juta) daripada pendapatan bersih saya daripada Loop Tour Ed Sheeran kepada enam organisasi yang bekerja secara langsung untuk menyokong rakyat Palestin,” katanya.
Beliau menyumbang kepada Tabung Bantuan Kanak-Kanak Palestin (PCRF), HEAL Palestine, Gaza Soup Kitchen, Bantuan Perubatan untuk Rakyat Palestin, UNRWA USA dan Bantuan Pelarian Timur Dekat Amerika.
Pada Isnin lalu, Macklemore mendakwa Robert Kraft, pemilik Kraft Group yang memiliki Stadium Gillette menghubungi Sheeran dan memberitahunya konsert tidak akan dibenarkan berlangsung sekiranya penyanyi rap itu kekal dalam siri jelajah berkenaan.
Macklemore turut mencabar Kraft untuk menyamai jumlah sumbangannya sambil menegaskan bahawa nyawa rakyat Palestin juga wajar dilindungi seperti nyawa manusia lain.
Katanya, bantuan sahaja tidak mencukupi untuk menangani keadaan yang menyebabkan bantuan itu diperlukan, sebaliknya beliau percaya perubahan politik diperlukan bagi menangani ketidakadilan yang berlaku.
“Rakyat Palestin hidup berdekad-dekad tanpa hak asas dan tidak sepatutnya menunggu satu hari lagi untuk bebas. Di sinilah fokus saya akan kekal,” katanya.
Pada Selasa lalu, Sheeran menerusi media sosialnya berkata, penyingkiran Macklemore daripada siri jelajah itu adalah keputusan penganjur dan bukannya keputusannya.
Menurutnya, penganjur memaklumkan tarikh konsert akan datang akan dibatalkan sekiranya Macklemore masih membuat persembahan pembuka tirai dengan Kraft antara pihak yang terbabit dalam keputusan itu.
Sheeran turut menegaskan beliau tidak bersubahat dalam keputusan berkenaan dan mempunyai pandangan peribadi sendiri mengenai konflik antara Israel dan Palestin.
Dalam kenyataan terdahulu, Kraft berkata, keputusan melarang Macklemore dibuat susulan kenyataannya di pentas serta apa yang disifatkannya sebagai sejarah retorik dan imej anti-Semitik yang lebih luas.
Persembahan Sheeran seterusnya dijadualkan pada 19 September di Field Financial Lincoln di Philadelphia dengan 17 lagi tarikh jelajah di Amerika Utara dan Selatan sebelum pertunjukan terakhir di Mexico City pada 11 Disember.
© New Straits Times Press (M) Bhd


