Harimau Malaya ‘hilang’ sokongan luar biasa

Harimau Malaya ‘hilang’ sokongan luar biasa

SKUAD Harimau Malaya bagaikan ‘hilang’ sokongan luar biasa yang diharapkan apabila tiket perlawanan menentang Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil kurang mendapat sambutan.

Berdasarkan kemas kini di laman Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hanya 12,254 tiket terjual setakat jam 5 petang tadi.

Ia sekali gus menyaksikan sorakan pemain ke-12 negara yang diharapkan untuk memenuhi kapasiti 80,000 tempat duduk di stadium itu tidak akan kesampaian malam ini.

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon sebelum ini mengharapkan sorakan penuh penyokong negara untuk memberikan sokongan dalam perlawanan terakhir Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Skuad kendalian Pan-gon itu memerlukan kemenangan dengan jaringan besar sekurang-kurangnya lapan gol untuk membuka kembali peluang mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak secara merit ke Piala Asia 2027.

Skuad negara berdepan tugas sukar untuk mara ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia selepas seri 1-1 dengan Kyrgyzstan pada Khamis.

Keputusan itu meletakkan Malaysia menghuni tempat ketiga kumpulan dengan tujuh mata iaitu tiga mata di belakang Kyrgyzstan yang mempunyai kelebihan gol sebelum perlawanan terakhir.

Oman pula memimpin carta kumpulan dengan 12 mata, telah mengesahkan tempat ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.

Pada perlawanan terakhir kumpulan, Malaysia dalam keadaan defisit dua gol akan menerima kunjungan Taiwan di Bukit Jalil, manakala Kyrgyzstan dengan kelebihan enam gol akan ke Muscat bertemu Oman.

Sekiranya gagal ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026, Malaysia juga hilang kelayakan automatik ke Pusingan Akhir Piala Asia 2027, sebaliknya perlu bermain dalam pusingan ketiga untuk melayakkan diri buat kali kedua ke Piala Asia di Arab Saudi tiga tahun lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!