Harimau Malaya siap siaga

Kuala Lumpur: Harimau Malaya bagaikan mendapat suntikan semangat menjelang Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 selepas dibenarkan menjalankan kem latihan pusat di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil secara kuarantin.

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, perkhabaran itu jelas melegakannya selain memberikan ruang untuk pasukan negara membuat persiapan sekiranya saingan kelayakan tersebut tetap berlangsung Mac depan.

“Pertama sekali kami harus berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican). Tanpa usaha beliau, sudah tentu sukar bagi kami untuk kembali berlatih.

“Sememangnya saya sangat gembira kerana dibenarkan untuk memulakan latihan. Namun, buat masa sekarang kami masih berbincang dengan pihak FAM untuk menentukan tarikh untuk memulakan latihan.

“Setakat ini, kami belum bincang sama ada akan bermula latihan awal atau tidak dan kami akan melihat keadaan Covid-19 ini sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Terdahulu, Reezal Merican dalam satu kenyataan mengesahkan skuad bola sepak kebangsaan dibenarkan untuk menjalani kem latihan pusat di Majlis Sukan Negara (MSN) dengan pendekatan kuarantin dalam masa terdekat.

FAM sebelum ini terpaksa membatalkan kem latihan pusat skuad Harimau Malaya yang sepatutnya dijadualkan berlangsung selama 10 hari bermula 16 hingga 25 Januari ini.

Ia susulan pihak kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kebanyakan negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor selama dua minggu mulai 13 Januari lalu.-Sinar Harian

Malay News
Sports Desk