Harimau Muda sedia ratah Gajah Perang

Harimau Muda sedia ratah Gajah Perang

sukan@hmetro.com.my

Phnom Penh: Skuad bawah 22 (B-22) tahun negara bakal turun dengan status pasukan ‘underdog’ apabila berdepan juara 16 kali, Thailand dalam aksi Kumpulan B di Sukan Sea Kemboja 2023, esok.

Ia selepas pengendali skuad B-22, E Elavarasan menganggap skuad Gajah Perang yang juga pemenang pingat emas terbanyak dalam acara bola sepak temasya dwitahunan itu adalah pasukan lebih kuat berbanding skuad ‘Harimau Muda’.

Malah, pengendali berusia 61 tahun itu juga seakan enggan menjadikan isu cuaca panas dan permukaan padang kurang baik di Stadium Prince sebagai halangan untuk skuad negara tampil dengan aksi terbaik bagi memburu slot ke separuh akhir.

“Saya fikir Vietnam dan Thailand pilihan utama dalam Kumpulan B. Berdasarkan persembahan sebelum ini mereka pasukan yang bagus. Kami hanya fokus satu perlawanan ke satu perlawanan dan mahu melepasi ke separuh akhir.

“Kami tak boleh bagi alasan cuaca atau padang. Sebab kalau kami bermain dengan cuaca seperti ini, pasukan lawan pun main dalam cuaca dan padang yang sama,” katanya.

Skuad negara ketika ini menghuni tangga kedua Kumpulan B selepas membelasah Laos 5-1 dalam aksi pertama, Rabu lalu dan berkongsi tiga mata bersama Thailand di kedudukan ketiga.

Juara bertahan, Vietnam yang sudah beraksi dua perlawanan dan merekodkan kemenangan bersih memimpin kumpulan dengan mengumpul enam mata.

Selepas Thailand, Harimau Muda akan terus berdepan tugas getir berdepan Vietnam, Isnin ini sebelum aksi terakhir kumpulan menentang Singapura di gelanggang sama, tiga hari kemudian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top