“Waktu hari lahir dia, saya ada hantar satu nota. Dalam nota itu, saya ucapkan ‘Happy Birthday’ dan ‘wish’ dia untuk Sumud.”
Demikian kata-kata pelakon Hariz Hamdan ketika ditanya mengenai pesanan yang dititipkan kepada pelakon dan aktivis kemanusiaan Hazwani Helmi yang terlibat dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.
Hariz atau nama sebenarnya Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, 24, menjelaskan dia sendiri tidak mengetahui secara terperinci tujuan sebenar Hazwani menyertai misi berkenaan.
“Kalau tengok di TikTok saya sebelum ini, peminat pun tahu saya ada muat naik nota untuk dia.
“Saya sendiri tidak pasti niat sebenar dia ke sana, sama ada untuk berjihad atau perkara lain. Hanya Allah SWT yang lebih mengetahui,” katanya.
Hariz ditemui pada majlis Macam-Macam Raya bersama Rocketfuel Entertainment pada Rabu.
Mengulas kritikan terhadap penyertaan wanita dalam misi kemanusiaan tersebut, Hariz memilih untuk berdiri di belakang Hazwani sebagai seorang rakan.
“Saya faham ada yang tidak setuju dan ada juga yang menyokong. Memang akan wujud konflik dan salah faham.
“Sebagai kawan, saya cuma boleh pesan supaya dia terus kuat dan lakukan apa yang dia rasa betul.
“Apa yang orang cakap boleh dijadikan pengajaran, tapi niat dia untuk bantu warga Gaza itu antara dia dengan Tuhan,” katanya.
Dalam masa sama, Hariz turut menjelaskan mengenai dakwaan bahawa dia memberi bayangan Hazwani sebagai wanita idaman dalam hantaran Threads sebelum ini.
“Saya kongsi tentang ciri-ciri wanita idaman itu secara umum sahaja. Mungkin ada yang anggap ia ditujukan kepada Hazwani.
“Tapi sebenarnya tidak ditujukan kepada sesiapa. Biarlah orang tertanya-tanya kerana hubungan kami hanya sebagai kawan.
“Insya-Allah kalau ada jodoh nanti, selain berhijab, itu antara ciri wanita yang saya cari,” katanya.
Sebelum ini, perkongsian Hariz mengenai ciri wanita idaman seperti berperibadi baik, kuat dan menjaga hubungan dengan Tuhan mencetuskan perhatian ramai, termasuk spekulasi yang mengaitkannya dengan Hazwani yang juga adik kepada penyanyi dan pelakon, Heliza Helmi.




