“Perkara Yang Salah Tetap Salah” – Game Online Libatkan Harris Alif Jadi Isu, Intan Ladyana Enggan Jadi Enabler

“Perkara Yang Salah Tetap Salah” – Game Online Libatkan Harris Alif Jadi Isu, Intan Ladyana Enggan Jadi Enabler

Pelakon Intan Ladyana, 44, tampil memberi reaksi berhubung dakwaan melibatkan suaminya, Harris Alif, 26, yang dikatakan berlaku curang selepas tular rakaman perbualan mesra bersama seorang wanita dalam permainan video atas talian.

Menurut Intan, dia tidak menyokong sebarang perbuatan yang salah dan setiap individu perlu tahu batas masing-masing.

“Sebagai isteri, saya bukan jenis yang menyokong atau membiarkan perkara yang tidak betul.

“Apa yang salah tetap salah dan apa yang betul tetap betul. Kita kena tahu batas diri,” katanya kepada XTRA.

Intan yang bakal membintangi drama bersiri Dendam Seorang Mentua itu ditemui pada majlis Macam-Macam Raya bersama Rocketfuel Entertainment, pada Rabu.

Intan itu turut mengakui tidak mengetahui mengenai permainan video berkenaan mahupun wanita yang terlibat, dan hanya menyedari perkara tersebut selepas ia menjadi tular.

“Saya memang tidak kenal wanita itu sebab saya sendiri tidak bermain permainan video. Game apa pun saya tidak tahu. Selepas isu ini tular barulah saya tahu.

“Saya tidak mahu salahkan sesiapa, sama ada wanita itu atau Harris. Mereka sendiri perlu tahu apa yang mereka lakukan itu betul atau tidak. Itu terpulang pada diri masing-masing,” katanya.

Ditanya sama ada mereka berbincang mengenai perkara tersebut, Intan memberi bayangan isu berkenaan tidak akan berulang.

“Insya-Allah, perkara ini tidak akan berlaku lagi,” katanya ringkas.

Dalam masa sama, Intan menjelaskan dia tidak menetapkan sebarang syarat terhadap suaminya untuk berhenti bermain permainan tersebut, namun tetap menekankan soal batas dalam pergaulan.

“Saya tidak letakkan apa-apa syarat. Sama seperti saya, saya tahu batas saya dan dia juga tahu batas dia. Kita tidak boleh terlalu mengawal, tapi masing-masing kena ada kesedaran.

“Walaupun dalam permainan video atau berlakon, kita tetap kena tahu had. Itu datang daripada kefahaman diri sendiri,” katanya.

Terdahulu, nama Harris menjadi perhatian di media sosial selepas beberapa klip video penstriman langsung memperlihatkan dia berinteraksi dengan nada yang dianggap mesra dan romantik bersama pemain wanita lain, sekali gus mencetuskan perbincangan kerana statusnya sebagai suami.

Untuk rekod, Harris dan Intan mendirikan rumah tangga pada 5 Februari 2021 dan dikurniakan dua cahaya mata.

Scroll to Top