'Dah dapat peluang, mahu buat yang terbaik demi negara'

'Dah dapat peluang, mahu buat yang terbaik demi negara'

Ridzuan Abdul Rahman

mohamadridzuan@hmetro.com.my

JANGKA masa 24 jam sehari bagaikan tidak cukup buat insan yang aktif dan tidak kenal erti penat iaitu Mimifly.

Mimifly atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, 39, yang aktif menyanyi, turut bertindak sebagai guru tari, jurulatih yoga dan menguruskan studio bersama penyanyi Atilia selain akan tampil dengan program untuk kanak-kanak serta seni persembahan.

Seperti namanya, penyanyi yang mencuri perhatian dengan persembahan penuh bertenaga pada malam penutup Sukan SEA 2025 di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 21 Disember lalu, kini terbang tinggi.

Ini kerana Mimifly akan beraksi mewakili Malaysia ke Festival Muzik ASEAN-Korea 2026 (ROUND) di Filipina pada Sabtu dan Ahad ini.

“Saya akan bawa nama Malaysia dan sekarang saya sibuk mengemas kini kerjasama dengan bakat Asia Tenggara. Kiranya macam pasukan saya sekarang sudah besar, lebih jauh, bukan dalam Malaysia saja. Dah pergi ke Bangkok, Filipina, Vietnam.

“Cuma saya nak fokuskan pada apa yang saya harus usahakan sementara boleh, sementara ada tenaga. Doa-doakanlah.

“Festival ROUND ini diadakan setiap tahun. Ia adalah program KBS World bersama ASEAN. Ia menghimpunkan semua artis-artis Asia Tenggara dalam satu pentas,” katanya membuka cerita.

Menurutnya, Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun lalu dengan menampilkan kumpulan Dolla dan Marsha Milan sebagai wakil negara untuk festival selama dua hari itu.

“Tahun ini mereka buat dekat Filipina, yang diwakili oleh saya dan bersaing dengan artis-artis lain dari Indonesia, Filipina, Thailand, Korea dari sekitar Asia.

“Tekanannya ialah saya bukan di bawah mana-mana label besar. Saya adalah artis bebas di bawah label Mimifly sendiri dan pasukan sendiri.

“Saya sibuk menguruskan itulah sekarang dan saya nak buat yang terbaik sebab bawa nama Malaysia. Pada saya benda ini berat sangat, tapi rasanya pengalaman itu mendewasakan,” katanya.

Penyanyi lagu raya popular berjudul Serumpun ini mengakui tidak tertekan dengan situasi ini kerana mahu menikmati setiap saat detik yang bakal dilaluinya.

“Sebab bukan senang nak dapat peluang ini. Saya sudah bayangkan benda ini dan nak buat sehabis baik, nak nampak diri saya atas pentas buat benda (persembahan yang terbaik) itu.

“Sekarang peluang dah dapat, jadi kena buatlah. Persembahan 25 minit akan tampilkan lebih kurang 16 penari. Insya-Allah, gabungan 16 penari daripada Malaysia dan Filipina.

“Pengarah muzik saya dari Amerika Syarikat sebenarnya, tapi dia (menetap) di Bangkok. Pasukan saya sudah mantap. Alhamdulillah, cuma nak perkemas visual, sistem bunyi dan memang terujalah,” katanya.

Menurutnya, dia kini lebih kepada fasa bertenang untuk mengharungi cabaran ini.

“Saya harapkan semua mendoakan semoga segalanya berjalan lancar. Kita pun tahu apa krisis dunia sekarang ini kan. Jadi kita cuma boleh bagi yang terbaik dan berserah kepada Tuhan saja,” katanya.

Selain itu, tuah turut berpihak kepada Mimifly apabila terpilih sebagai artis jemputan untuk Konsert For You Nourul yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Mei depan.

Dia yang sudah lama meminati Nourul berkata, peluang ini diterima dengan penuh rasa kasih terhadap penyanyi idolanya ini.

“Apabila kak Nourul menghantar mesej kepada saya mengenai konsert ini, saya terus beri sokongan penuh kerana saya membesar dengan lagu-lagunya yang memukau.

“Bila dia kata nak jadikan saya artis undangan konsert itu, saya terus setuju. Tapi lepas itu bila tengok tarikh asal ‘clash’, saya agak kecewa. Aduh… sedih sikitlah tak dapat nak buat.

“Tapi akhirnya bila Kak Nourul tukar tarikh, dia terus ‘lock’ saya lagi sekali. Terus saya kata okay. Sebenarnya masa itu saya tak tahu dia nak buat konsep muzik yang macam mana?

“Tapi dah tentulah saya suka dan sangat terbuka kepada ‘new sound’ dan juga kolaborasi. Jadi, tentunya saya teruja dan tak sabar menunggu konsert ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top