KUANTAN: Kerajaan Pahang merekodkan kutipan hasil melebihi RM740 juta setakat akhir bulan ini sekali gus disifatkan sebagai pencapaian terbaik negeri itu bagi tempoh enam bulan pertama.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, prestasi tersebut meletakkan kerajaan negeri di landasan tepat untuk mencapai sasaran kutipan hasil melebihi RM1 bilion tahun ini.
Menurutnya, pencapaian itu diperoleh meskipun keadaan ekonomi global masih dipengaruhi konflik yang berlaku di Asia Barat.
“Kutipan hasil kerajaan negeri sekarang berada dalam keadaan yang baik, malah lebih baik daripada sebelumnya walaupun kita tahu peperangan berlaku di Asia Barat.
“Tidak pernah lagi dalam sejarah sebelum akhir Jun kita telah memperoleh lebih RM740 juta. Lazimnya pada tempoh ini kutipan sekitar RM600 juta,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Guru Pahang 1st di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, peningkatan kutipan hasil itu didorong oleh kecekapan agensi berkaitan dalam mempertingkatkan kutipan hasil negeri di samping usaha meminimumkan ketirisan dan kebocoran.
Katanya, perkembangan tersebut memberi keyakinan kepada kerajaan negeri untuk mencapai sasaran kutipan hasil melebihi RM1 bilion buat tahun ini.
“Saya sangat optimis dan yakin sasaran kutipan hasil lebih RM1 bilion akan dapat dicapai berdasarkan rekod prestasi yang kita ada sehingga hari ini,” katanya. – UTUSAN




