Hasrat PSM mempunyai stadium sepak takraw cerah

Hasrat PSM mempunyai stadium sepak takraw cerah

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hasrat Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mempunyai stadium sendiri kini sudah pun melepasi fasa perbincangan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk ke arah itu.

Presiden PSM, Datuk Datuk Sumali Reduan memaklumkan bahawa mereka sudah pun mempunyai lokasi yang diingini iaitu di sekitar Lembah Klang dan kini dalam peringkat untuk diperhalusi dengan lebih terperinci.

Beliau ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Liga Sepak Takraw (STL) berkata, ada dua perkara yang perlu diberi perhatian sebelum sebarang keputusan diambil.

Iaitu menggunakan stadium untuk penganjuran kejohanan ataupun menjadikan stadium itu sebagai kegunaan akademi atau latihan.

“PSM tak kisah sama ada bina baru atau menggunakan stadium sedia ada. Tapi perlu lihat akan penggunaan itu seperti yang saya katakan iaitu kita gunakan untuk penganjuran kejohanan atau menjadikan sebagai akademi ataupun tempat latihan.

“Stadium ini tak besar pun tak mengapa. Janji boleh memuatkan kapasiti penonton sekitar 3,000 atau 5,000 pun dan cukup baik,” katanya.

Dalam perkembangan yang berlainan, Sumali memaklumkan PSM bersetuju menerima tawaran Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) untuk menjadi tuan rumah Piala Asia 2025 yang diperkenalkan buat julung kalinya.

Axiata Arena dan Stadium Titiwangsa menjadi dua venue yang berada dalam pertimbangan PSM untuk kejohanan Piala Asia 2025.

Sumali berkata, pihaknya sedang memperincikan pro dan kontra bagi kedua-dua venue berkenaan yang merangkumi dari sudut kapasiti serta kehadiran penonton nanti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top