Rasulullah SAW sentiasa berdoa supaya dijauhkan daripada fitnah wanita. Ini kerana wanita adalah makhluk yang amat unik ciptaan Allah di muka bumi. Jika dikaji secara mendalam, didapati dalam diri wanita mempunyai dua unsur yang saling bertentangan. Pertama penawar dan yang kedua ialah racun. Sekiranya wanita dapat dididik dengan baik mengikut lunas-lunas Islam pasti mereka akan menjadi penawar bagi lelaki. Jika tidak, maka sebaliknyalah yang akan berlaku. Atas asas itu, Allah SWT telah mengarahkan golongan lelaki agar memelihara dan mengawal diri daripada terjerumus dengan fitnah wanita. Ini dapat dilihat menerusi firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 30 yang bermaksud: “Katakan kepada golongan lelaki yang beriman supaya merendahkan pandangan (daripada melihat wanita dengan pandangan nafsu yang menggoda) dan menjaga kemaluan mereka (daripada perbuatan zina dan sebagainya)…”
Ayat di atas sangat jelas menggambarkan betapa bahayanya fitnah yang terdapat pada wanita. Menurut Prof Dr Muhammad Baltaji dalam bukunya yang bertajuk Fiqh al-Mar’ah fi al-Islam, daya penarik yang terdapat dalam diri wanita amat kuat sehingga mampu menyababkan lelaki yang bijak pandai dan tegas sanggup memusuhi akal fikiran, menentang ilmu pengetahuan, meruntuhkan rumahtangga sedia ada dan melanggar segala undang-undang sedia ada hanya semata-mata kerana ingin memenuhi kehendak nafsu terhadap wanita.
Sehubungan itu, setiap lelaki yang beriman kepada Allah wajib mengetahui segala alat-alat fitnah yang terdapat dalam diri wanita. Ia bertujuan untuk melahirkan golongan lelaki yang mampu menjadi pemimpin kepada golongan wanita di samping mengatasi masalah sosial seperti buang anak, lambakan anak tidak sah taraf, rogol dan sebagainya. Selain itu juga, menerusi kaedah ini, kebajikan golongan wanita akan dapat dididik dan diselamatkan daripada pelbagai fitnah yang turut berpunca daripada pihak lelaki yang tidak takut kepada Allah SWT.
ALAT FITNAH WANITA
Abdul Mun’im Qindil menjelaskan bahawa alat-alat fitnah yang dimiliki wanita cukup banyak. Namun, alat yang paling banyak menjadi perhatian dan punca fitnah kepada lelaki adalah seperti berikut:
l
Air Mata
Air mata wanita mempunyai kuasa yang luar biasa bagi seorang lelaki. Ini kerana wanita mampu melembutkan hati seorang lelaki untuk melakukan sesuatu hanya menerusi air mata. Jika air mata mereka digunakan untuk menarik suami mentaati Allah, maka ia akan menyebabkan kedua-dua pasangan masuk ke syurga. Tetapi jika ia digunakan untuk mengajak kepada kemaksiatan, maka ia akan menyebabkan kepada azab Allah yang sangat menakutkan. Oleh itu, golongan lelaki perlu berhati-hati dengan air mata yang dikeluarkan wanita. Pastikan air mata yang dikeluarkan itu mampu mengubah mereka ke arah yang lebih baik bagi menuju jalan Allah.
l
Pujuk rayu dan pandai mengambil hati
Mengambil hati adalah amalan yang sangat mulia. Namun, jika perbuatan tersebut dilakukan bagi mendorang golongan lelaki melakukan maksiat kepada Allah. Maka hukum berbuat demikian haram dan berdosa. Tidak kurang ramainya golongan isteri bersungguh-sungguh mengambil hati suami supaya suami tidak lagi taat kepada arahan ibu bapanya. Ada lelaki yang sanggup membuang ibu bapa hanya kerana ingin terus bersama dengan pasangan kekasih atau isterinya yang dianggap mampu membahagiakan dirinya di dunia dan akhirat. Sebenarnya mereka silap, tiada kebahagiaan yang lebih mulia di dunia ini kecuali keredaan daripada ibu bapa. Oleh itu, golongan lelaki perlu berjati-hati dengan pujukan kaum hawa. Pastikan ia digunakan untuk kebaikan dan kebahagian dunia dan akhirat.
l
Aurat yang didedahkan
Anggota tubuh wanita khususnya bahagian aurat hanya dijadikan Allah untuk suami. Ia haram dipertontonkan kepada golongan lelaki yang bukan mahram. Oleh itu, perkara ini perlu diambil perhatian oleh semua pihak sama ada si pemilik tubuh atau golongan lelaki yang melihatnya. Melihat aurat wanita dengan sengaja adalah haram kecuali dalam keadaan darurat seperti urusan perubatan dan sebagainya. Sehubungan itu, golongan lelaki sepetutnya lebih peka dengan godaan daripada wanita dengan menunjukkan bahagian tertentu daripada aurat mereka. Jika mampu, nasihatlah mereka supaya kembali ke pangkal jalan dan bukan menggalakkan mereka terus berbuat demikian. Insya-Allah dengan usaha dakwah sedemikian, makin ramai golongan hawa yang menutup aurat dan tidak menjadikannya sebagai alat untuk menggoda.
l
Senyuman
Senyuman mudah terukir daripada yang bergelar insan sama ada lelaki mahupun wanita. Bahkan melemparkan senyuman antara manusia adalah sunah Nabi SAW. Ini dapat dilihat menerusi sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Senyuman kamu kepada saudara kamu adalah sedekah.”
Walaupun begitu, ulama menjelaskan senyuman lelaki kepada wanita atau wanita kepada lelaki yang bukan mahram adalah makruh jika ia dilakukan tanpa sebarang nafsu atau perasaan menggoda. Tetapi, jika terdapat niat menggoda atau perasaan bernafsu, maka hukum berbuat demikian haram dan berdosa. Ini kerana perbuatan sedemikian akan mengundang fitnah yang sangat besar. Atas seab itu Allah SWT berfirman dalam surah al-Nur ayat 31 yang bermaksud: “Katakan kepada golongan wanita yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka (ketika melihat lelaki), menjaga kemaluan mereka dan tidak mempertontonkan aurat mereka kecuali yang zahir daripadanya (muka dan pergelangan tangan)…”
l
Tutur kata yang manis
Sememangnya wanita memiliki tutur kata yang mampu menarik perhatian golongan lelaki. Jika tidak dipelihara tutur kata mereka itu ia pasti akan mendorong kepada maksiat dan fitnah. Atas sebab itu, Allah SWT telah mengingatkan umat mengenai hal ini dalam surah al-Ahzab ayat 32 yang bermaksud: “Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertakwa. Oleh itu, janganlah kamu berkata-kata dengan suara lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu) dan sebaliknya berkata-katalah dengan gaya yang sopan (sesuai dan sopan).”
Ayat ini sangat jelas menunjukkan bahawa Allah SWT melarang golongan wanita menggunakan tutur kata yang menggoda hingga mampu mendatangkan fitnah kepada kaum lelaki. Selain itu, perlu diingatkan juga bahawa ayat tersebut sama sekali tidak melarang golongan wanita untuk terus berkomunikasi dengan kaum lelaki yang bukan mahram bagi tujuan keperluan dan sebagainya. Ini kerana larangan mereka daripada berkomunikasi dengan kaum lelaki akan menyababkan pelbagai kesukaran ke atas mereka khususnya dalam suasana moden seperti zaman ini.
Walupun begitu, golongan wanita perlulah menjaga adab dan syariat ketika berkomunikasi. Bercakaplah dengan nada normal tanpa dilenggang lenggokkan hingga boleh menyebabkan ia disalah ertikan oleh golongan lelaki yang bermasalah. Gaya bahasa juga mestilah melambangkan tutur kata yang baik dan sopan agar ia sesuai dengan personaliti Muslimah pada hari ini. Bagi kaum lelaki pula, mereka dinasihatkan supaya tidak menjadi punca kepada fitnah ini. Mereka sepatutnya lebih bertakwa dan bersifat profesional ketika berintraksi dengan kaum hawa. Fitnah ini tidak akan berlaku jika kedua-dua pihak berjaya menjaga segala yang disuruh serta yang dilarang oleh Islam.
Semua perkara tersebut di atas adalah sebahagian daripada senjata fitnah yang terdapat dalam diri wanita. Senjata tersebut jika digunakan pada tempatnya, pasti ia akan menghasilkan suasana positif dan baik untuk semua pihak.
Sehubungan dengan itu, Shikh Abdul Mun’im Qindil berpendapat, golongan lelaki seharusnya lebih kuat untuk menghadapi segala fitnah wanita ini. Mereka sepatutnya menjadi pendorong kepada kaum wanita supaya menggunakan senjata sulit mereka itu ke jalan yang dibenarkan syarak. Ingatlah kaum lelaki adalah pemimpin kepada kaum wanita. Tercoraknya jalan cerita kehidupan mereka berasaskan peta yang dilukis oleh kaum lelaki. Jika salah petunjuk peta itu, maka akan salahlah jalan hidup mereka
Sekiranya betul, maka sudah semestinya mereka akan sampai ke destinasi yang dituju dan sekali gus mendapat keredaan Allah SWT di dunia dan akhirat.
Penulis Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
© New Straits Times Press (M) Bhd




