Los Angeles: Gimnas Amerika Syarikat (AS), Jordan Chiles berkata kehilangan pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris amat mendukacitakan, menyayat hati serta memberi tamparan kepadanya.
Atlet berusia 23 tahun dari Los Angeles itu juga berkata, serangan di media sosial amat menyakitkan hatinya ketika dia cuba bangkit daripada kontroversi insiden final senaman lantai.
Semakan markah atas tahap kesukaran dilakukannya melonjakkan kedudukan Jordan ke tempat ketiga dalam acara senaman lantai.
Tetapi Romania mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) memutuskan bahawa rayuan AS terlalu lewat, menyebabkan Persekutuan Gimnastik Antarabangsa memberikan pingat kepada Ana Barbosu dari Romania.
USA Gymnastics (USAG) mengemukakan rayuan keputusan CAS dengan bukti video masa yang menunjukkan bahawa rayuan berkenaan dibuat tepat pada masanya.
Tetapi CAS menyatakan bahawa mereka tidak dapat mempertimbangkan semula keputusan berkenaan sekali gus menyebabkan USAG bertekad untuk membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan Switzerland.
“Semasa meraikan pencapaian Olimpik saya, saya mendengar berita yang mendukacitakan bahawa pingat gangsa saya telah dilucutkan,” kata Jordan dalam satu kenyataan di X.
“Saya mempunyai keyakinan terhadap rayuan yang dikemukakan oleh USAG, yang memberikan bukti konklusif bahawa markah saya mengikut semua peraturan. Rayuan ini tidak berjaya.
“Saya hilang kata-kata. Keputusan ini seperti tidak adil dan memberi tamparan yang hebat, bukan sahaja kepada saya, tetapi kepada semua orang yang bersama-sama berjuang dengan saya.
“Lebih menyedihkan, serangan berbentuk perkauman di media sosial terhadap saya amat menyakitkan hati.
“Saya telah mencurahkan hati dan jiwa saya ke dalam sukan ini dan saya sangat berbangga untuk mewakili negara saya,” katanya lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd