mohamadridzuan@hmetro.com.my
Menjalani kehidupan yang tenang sebagai ibu tunggal kepada dua anak yang semakin membesar. Bagaimanapun, pada masa sama, pelakon dan pengacara, Yasmin Hani kekal berbaik dengan bekas suami, Shahrin Razali.
Biarpun di atas kertas tertulis mereka sudah bercerai sejak enam tahun lalu, pelakon berusia 47 tahun yang mesra disapa sebagai Hani berkata, mereka mengamalkan konsep keibubapaan bersama atau ‘co-parenting’ yang harmoni tanpa sebarang sengketa.
“Status saya masih ‘single’ dan masih sibuk jaga anak-anak dan masih jaga mereka dengan bapa mereka. Sekali-sekala kami pergi bercuti ataupun kami bawa keluar.
“Hari jadi anak pun kami masih ‘celebrate’ sama-sama. Jadi, kami cuba dan masih cuba untuk ‘create a happy family’,” katanya yang sentiasa ceria.
Bagaimanapun, pelakon filem Pemuja ini menjelaskan tidak pernah menutup pintu hati terhadap mana-mana lelaki yang ingin mendekatinya.
“Saya terang-terang cakap dulu, kita buka jodoh. Itu semua kerja Dia. Jika ada, saya terima. Saya tak ada trauma. Alhamdulillah maknanya saya tak sakit.
“Saya tak serik nak kata kahwin lagi kah atau apa-apa, tidak. Dalam perjalanan saya itu, adalah jumpa macam-macam lelaki. Sekarang ini kita boleh pilih.
“Jadi, mana yang betul-betul macam tak serius ataupun yang terlampau muda atau lain-lain sebab, saya macam terfikir lambat lagi jodoh saya,” katanya.
Lebih penting, lelaki terbabit boleh menerima keluarga ataupun dua anaknya seperti anak-anak sendiri.
“Itu perlu sebab anak saya wujud. Dan mak saya pun tinggal dengan saya di rumah. Jadi, mereka perlu ‘family man’. Seseorang yang penyayang dan baik hati terhadap orang lain.
“Ada budi bahasa, adab. Boleh bawa sana ke sini dan dia kena kelakar dan dia kena stabil,” katanya berterus terang.
Menyentuh mengenai anak-anak, Hani berkata, kedua-duanya faham situasi ibu bapa mereka, namun kasih sayang tidak pernah kurang kerana bapa mereka sentiasa ada bersama.
“Mereka tahu. Mereka cakap juga kadang-kadang rindukan saat-saat saya dan Shahrin bersama di rumah. Itu sebabnya saya cakap kita ‘create’ momen itu.
“Kita jangan bagi dia kempunan. Terasa macam kadang-kadang ada banyak cerita dekat luar sana penceraian yang mak tak nak bagi anak jumpa bapak.
“Atau bapa menafikan kasih sayang mak pada anak. Oh jangan buat macam itu, berdosa. Hanya perkahwinan yang gagal, keluarga (anak-anak) jangan gagal.
“Jadi, kami cuba walaupun kalau kami gaduh pun biar antara kami. Anak tu kena selesaikan dulu,” katanya yang agak serius apabila bercerita bab ini.
Ditanya mengenai keinginan peminat yang mendoakannya supaya dia dan Shahrin kembali bersatu, Hani menyerahkannya kepada ketentuan takdir.
“Doalah keras-keras (sungguh-sungguh). Kalau jadi saya terima, tak jadi pun saya terima. Saya okey saja. Yang penting saya nak jujur perkara itu.
“Benda itu ikhlas dan benda itu jujur dan perasaan itu ‘real’. Bukan sebab dipaksa, disuruh orang. Dan juga macam ‘alah kasihanlah anak engkau, apa kau buat macam ini’.
“Sampai bila nak hidup kasihan? Tak naklah. Anak pun tak tertanya-tanya sebab mereka tiap-tiap hari jumpa mak bapa. Jadi, dia tak adalah cakap macam-macam,” katanya.
Hani berkata, dia dan Shahrin sering terbabit dengan aktiviti anak-anak bersama dan itu sudah cukup menggembirakan hati mereka.
Secara peribadi Hani mengakui imaginasi untuk kembali bersama bekas suami tidak sampai ke tahap itu.
“Imaginasi itu tak pergi jauh. Dia macam tak sampai. Saya kena jujur. Jadi, kalau dia tak sampai itu, okey jangan kau fikir-fikir lagi. Tak payah paksa,” katanya menutup bicara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




