amir_hamid@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: “Malaysia bukan sekadar tempat kita dilahirkan dan membina kehidupan malah hakikatnya lebih mendalam daripada itu, justeru, hargailah sepenuh hati,” tegas veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Adam Ahmad.
Adam, 38, berkata, bagi anggota ATM, tanah air adalah amanah yang perlu dipertahankan dengan penuh kesetiaan, keberanian dan pengorbanan.
Katanya, perjalanannya bermula sebagai anggota TLDM dengan satu tekad iaitu untuk berkhidmat kepada negara.
“Sepanjang perkhidmatan, saya diberi peluang melaksanakan pelbagai penugasan di laut, termasuk menjaga keselamatan perairan Sabah dan kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).
“Antara pengalaman yang paling tidak dapat saya lupakan ialah pembabitan dalam Ops Daulat di Sabah. Operasi itu mengajar saya erti sebenar keberanian, disiplin, setiakawan dan tanggungjawab.
“Dalam situasi keselamatan yang mencabar, setiap anggota perlu sentiasa bersedia dan meletakkan kepentingan negara serta keselamatan orang awam sebagai keutamaan,” katanya.
Bermula 2010 hingga 2022, sepanjang 12 tahun, Adam mencurah khidmatnya sebagai Anggota Tentera Laut Berkepakaran Kejuruteraan Elektrik dan Senjata (TLS).
Adam berkata, Ops Daulat mengajar bahawa keberanian bukan bermaksud tidak takut, tetapi mampu mengawal rasa takut dan terus melaksanakan amanah apabila negara memerlukan.
“Saya juga pernah ditugaskan di Pulau Uniform, Sabah, jauh daripada keluarga dan kehidupan di tanah besar. Laut yang luas menjadi sebahagian daripada kehidupan, manakala tuntutan tugas dan kesiapsiagaan menguji ketahanan fizikal serta mental.
“Namun setiap kali melihat Jalur Gemilang berkibar, saya teringat bahawa kami berada di situ untuk satu tujuan iaitu menjaga kepentingan dan kedaulatan negara,” katanya.
Perjalanan pengabdiannya dalam menjaga keamanan kemudian membawa Adam ke luar negara.
Dia berasa bertuah antara yang terpilih dalam misi pengaman di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di selatan Lubnan.
“Di bumi asing, saya membawa bukan sahaja uniform, tetapi juga nama dan maruah Malaysia.
“Di sana saya belajar bahawa keamanan mempunyai harga. Ia memerlukan disiplin, kesabaran, keberanian, toleransi dan pengorbanan.
“Namun di sebalik tugas sebagai pengaman, saya turut melalui satu ujian paling berat dalam kehidupan seorang anak,” katanya.
Dalam nada sayu, Adam berkata, ketika sedang melaksanakan penugasan jauh dari tanah air, dia menerima berita perginya ibu tersayang menghadap Ilahi.
Katanya, dia ingin berada di sisi keluarga dan memberikan penghormatan terakhir kepada ibu, tetapi tanggungjawab sebagai seorang anggota tentera yang sedang melaksanakan amanah negara perlu diteruskan.
“Pada masa itu di satu sisi ialah tanggungjawab kepada negara. Di satu sisi lagi ialah hati seorang anak yang kehilangan bonda.
“Pengalaman Ops Daulat, menjaga perairan Sabah dan ZEE, penugasan di Pulau Uniform serta misi pengaman PBB di selatan Lubnan telah membentuk diri saya dan mengajar bahawa berkhidmat kepada negara bukan sekadar pekerjaan. Ia adalah amanah,” katanya.
Kini sebagai veteran TLDM, dia sudah meninggalkan uniform, tetapi semangat untuk berbakti kepada negara tidak pernah bersara.
“Oleh kerana di mana saya berada, satu perkara tetap sama. Hati saya tetap untuk Malaysia,” katanya.
Adam yang pernah menjalani latihan semasa berkhidmat bersama Pasukan Khas Laut (PASKAL) kini turut mengasaskan Persatuan Litupan Keselamatan dan Pengiring Orang Kenamaan (P.O.K).
“Tidak mensia-siakan ilmu kemahiran yang ada, persatuan P.O.K fokus kepada modal insan termasuk peranan penggerak ekonomi, pembangunan insan dan sektor keselamatan masa depan.
“Apa pun dalam hal keselamatan dan keamanan negara, generasi patriotik perlu dididik dari rumah.
“Setiap unit keluarga perlu tanamkan sifat mengangkat kedaulatan negara dan menghormati unsur 3R (agama, bangsa dan raja,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

