Hayati, semarakkan obor perjuangan Tun Abdul Razak – Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa generasi muda agar tidak sekadar mengenang Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sebagai tokoh sejarah, sebaliknya menghidupkan semula obor perjuangan dan gagasan negarawan itu dalam mendepani cabaran pembinaan negara bangsa.

Anwar berkata, usaha mengenang jasa Perdana Menteri kedua itu perlu disertai pemahaman mendalam terhadap gagasan, pemikiran serta nilai yang diperjuangkannya agar dapat dijadikan panduan utama dalam menghadapi cabaran semasa.

Beliau menegaskan tokoh seperti Tun Abdul Razak tidak seharusnya dilihat sekadar sebahagian daripada catatan sejarah kerana pemikiran dan perjuangannya mempunyai nilai yang terus relevan untuk generasi hari ini serta masa hadapan.

“Tokoh ini tidak sembarangan dan tidak datang dan pergi sebagai suatu kisah sejarah yang mudah. Sebab itu tanggungjawab kita adalah bagaimana untuk menyemarakkan lagi api semangat obor perjuangannya.

“Mengenang negarawan bukan tugas mudah, ia boleh menyingkap sejarah, mendambakan perubahan, menghidupkan semangat kewajaran untuk dijadikan pengajaran dan iktibar,” katanya ketika berucap pada program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak: “Arkitek Pembangunan Negara Bangsa” di Memorial Tun Abdul Razak di sini pada Selasa.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil serta Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

AKAN MENYUSUL

 

 

Scroll to Top