
Amirudin (tiga dari kanan) melancarkan Logo, Maskot, Tema dan Kiraan Detik Setahun di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor di Shah Alam pada Jumaat.
SHAH ALAM – Helang putih yang sinonim dengan kekuatan dan semangat juang tinggi dipilih sebagai maskot rasmi Sukan Malaysia (Sukma) 2026 yang akan berlangsung di Selangor pada 15 hingga 24 Ogos tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemilihan helang putih bukan sekadar simbol, tetapi membawa nilai sejarah apabila ia pernah menjadi lambang temasya Sukma 1998 ketika negeri itu kali terakhir menjadi tuan rumah.
“Helang putih ini mencerminkan keberanian, kepantasan dan ketangkasan, dan inilah sifat yang kita mahu ada dalam diri atlet yang bakal beraksi di Sukma 2026.
“Kita mahu temasya kali ini bukan sahaja mencatat kemenangan dari segi kutipan pingat, tetapi juga mencipta impak besar dalam pembangunan industri sukan negeri dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Logo, Maskot, Tema dan Kiraan Detik Setahun di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, di sini pada Jumaat.
Amirudin turut memberi jaminan bahawa Selangor bersedia menyediakan pentadbiran, pengurusan dan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa bagi memastikan penganjuran berjalan lancar.
Menurutnya, Sukma 2026 bukan sekadar acara sukan, sebaliknya platform memperkukuh perpaduan dan menjana ekonomi melalui industri sukan yang semakin berkembang pesat.
Sukma yang dianjurkan di Selangor akan mempertandingkan 30 sukan wajib dan tujuh sukan pilihan.