Henti polemik isu papan tanda, tindakan DBKL atas prinsip 'rule of law'

Henti polemik isu papan tanda, tindakan DBKL atas prinsip 'rule of law'

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Semua pihak termasuk ahli politik perlu menghentikan polemik dan pertikaian berhubung tindakan penguatkuasaan yang dilaksana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung papan tanda premis perniagaan .

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, Malaysia mengamalkan prinsip rule of law di mana undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasa adalah untuk memastikan keadilan serta keharmonian dalam masyarakat terjamin.

“Justeru, semua pihak tanpa mengira latar belakang perlu untuk mematuhi undang-undang dan peraturan berkenaan.

“DBKL melalui Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982, Akta Kerajaan Tempatan 1976 menetapkan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan perlu diutamakan pada papan tanda premis.

“Huruf-huruf dan perkataan-perkataan dalam bahasa kebangsaan hendaklah diberi keutamaan dan hendaklah dari saiz yang lebih besar daripada huruf-huruf atau tulisan perkataan dalam bahasa lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, papan tanda juga perlu mendapatkan pengesahan visual daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terlebih dahulu sebagai dokumen wajib untuk memohon kelulusan DBKL.

“Tindakan penguatkuasaan oleh pihak DBKL ini adalah dalam pengetahuan saya selaku Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan.

“Keputusan ini turut konsisten dengan pendekatan yang diambil sejak isu Jalan Silang sebagai Mini Dhaka berbangkit lagi,” katanya.

Menurutnya, sepanjang 2024, sebanyak 13 siri operasi, 264 notis dikeluarkan dan 36 premis diambil tindakan berhubung isu papan tanda premis ini.

“Antara kesalahan yang dikenakan tindakan adalah penggunaan papan tanda yang tidak mendapat permit DBKL atau papan tanda yang dipaparkan tidak mengikut kelulusan permit yang diberikan.

“Notis juga diberikan dalam tempoh yang munasabah kepada pemilik premis untuk mengambil tindakan sebelum penguatkuasaan dibuat.

“Ingin ditegaskan bahawa penguatkuasaan ini adalah tugasan rutin DBKL yang sepatutnya telah dilaksanakan sejak dahulu lagi,” katanya.

Menurutnya, penguatkuasaan dilakukan bukan atas desakan mana-mana pihak atau individu, tetapi atas dasar memastikan peraturan yang berkuatkuasa dipatuhi.

“Oleh itu, saya menyeru semua pihak, termasuk ahli politik, agar menghentikan polemik ini. Kita mempunyai banyak agenda penting untuk diberi perhatian, dan bermain dengan sentimen perkauman seperti ini hanya akan mewujudkan polarisasi yang memecahbelahkan rakyat sahaja.

“Menjelang ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, kita perlu bersama-sama mengangkat martabat bahasa kebangsaan sebagai imej negara.

“Kuala Lumpur, sebagai pintu masuk utama negara seharusnya mencerminkan identiti nasional yang menonjolkan bahasa kebangsaan kita dengan jelas dan bangga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top