TEKA-TEKI jurulatih badminton beregu lelaki negara terungkai apabila legenda Indonesia, Herry Iman dilantik untuk mengisi kerusi panas tersebut untuk tempoh empat tahun.
Perkembangan tersebut dikongsi pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V Subramaniam dalam sidang media selepas mesyuarat Ahli Majlis di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Sabtu.
Beliau berkata, pemilihan Herry berdasarkan kejayaan besarnya sebagai jurulatih yang berjaya melahirkan juara dunia dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik.
Herry yang terkenal dengan julukan Herry Ip akan mengambil alih posisi Tan Bin Shen yang melepaskan jawatannya untuk bersama skuad badminton kebangsaan Hong Kong.
Sebagai rekod Herry pernah melatih juara Olimpik, Candra Wijaya-Tony Gunawan (Sydney 2000) dan Hendra Setiawan-Markis Kido (Beijing 2008).
Beliau dijadual memulakan tugas secara rasmi pada 1 Februari ini dan menjadi figura terbaru menyertai BAM selepas legenda Denmark, Kenneth Jonassen.