am@hmetro.com.my
Kota Bharu : Siasatan lanjut berhubung insiden dua anggota tentera cedera ketika melakukan Latihan Peningkatan Tempur (LPT) di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah akan meliputi semua faktor termasuk prosedur operasi standard (SOP) dan teknikal peralatan.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, sebaik laporan siasatan itu diperoleh, langkah seterusnya akan dibuat terutama langkah untuk mengelakkan insiden yang sama berulang.
“Kita tahu memang agak jarang kes macam ini (berlaku) tapi akan buat siasatan sama ada dari segi SOP yang dilaksanakan mahupun teknikal peralatan dan sebaik dapat laporan itu, baru boleh buat langkah seterusnya dan macam mana boleh elakkan.
“Kita sebenarnya sentiasa menilai, apabila kejadian itu berlaku, dia boleh membabitkan dua perkara iaitu ‘human factor’ dan peralatan tapi kita kena buat kesimpulan sebelum kita boleh ke hadapan untuk kemas baik lagi kerana boleh juga berlaku disebabkan kedua-duanya.
“Buat masa ini kita yakin SOP yang diambil memang mengambil kira kesemua faktor sama ada dari segi teknikal mahupun anggota itu sendiri…keutamaan kita adalah keselamatan anggota,” katanya kepada pemberita di Kem Desa Pahlawan di sini, hari ini.
Dalam kejadian Selasa lalu, dua anggota dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) iaitu Sarjan Mohamad Firdaus Che Shaharudin dan Koperal Felix anak Franchis cedera di bahagian kaki akibat terkena serpihan apabila senjata yang dikendalikan tersangkut (stoppage) dan tidak meletup.
Sarjan Mohamad Firdaus menerima rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang ke pasukan, manakala Koperal Felix kini sedang menerima rawatan dan pemantauan lanjut di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
Tentera Darat Malaysia (TDM) menubuhkan Lembaga Siasatan bagi menyiasat punca sebenar insiden secara terperinci dan menyeluruh.
Lapang Sasar itu juga sudah ditutup sementara waktu bagi membolehkan proses siasatan berjalan lancar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




