harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Niat mencari kerja menjadi mimpi ngeri apabila akaun bank dibuka kononnya untuk pembayaran gaji dijadikan alat oleh sindiket penipuan memindahkan wang mencecah RM2.4 juta.
Itu nasib menimpa, Jay, 26, yang kini hidup dalam ketakutan selepas mendapat tahu akaun syarikat yang dibuka tanpa pengetahuannya digunakan sindiket penipuan lantas menjadikan dirinya sebagai keldai.
Menurutnya, semuanya terbongkar selepas pemuda itu yang sepatutnya mula bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan namun tidak menerima sebarang panggilan daripada syarikat berkenaan selepas selesai menjalani latihan selama seminggu.
“Mula-mula dapat tawaran dia bagi kita rumah, makan minum dia tanggung dan dia cakap kena ‘training’ (menjalani latihan) seminggu untuk syarikat. Semasa seminggu itu dia minta buka akaun bank kononnya untuk gaji.
“Lepas itu dia bawa kami ke bank, kemudian kata permohonan (pembukaan akaun) tak lulus dan dia bawa ke beberapa bank lain. Semua dia kata tak lulus,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, selepas tiga bank kononnya menolak permohonan membuka akaun pemuda itu berkata mula timbul rasa musykil dan mahu berhenti daripada latihan itu namun dihalang oleh wakil syarikat berkenaan.
Katanya, dia dan beberapa individu lain akhirnya meneruskan ‘latihan’ berkenaan yang berakhir pada penghujung April dan menunggu panggilan untuk mula bekerja.
“Dalam tiga empat hari semua hilang, WhatsApp pun satu tick sahaja. Bila dah macam itu, saya ambil inisiatif sendiri untuk cari balik orang itu. Bila saya cari baru tahu orang itu membuka syarikat atas nama saya, kononnya saya ini pemilik.
“Bila semak dengan SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) saya jumpa nombor setiausaha dan saya telefon dia. Tetapi dia kata dia pun dah ke dalam (ditahan) sebab kes sama macam saya,” katanya.
Menurutnya, semakan lanjut mendapati namanya turut digunakan untuk mendaftar dua akaun perkhidmatan Internet di mana pemuda itu diminta membayar kira-kira RM14,000 jika mahu membatalkan kontrak selama 24 bulan daripada syarikat penyedia.
Katanya, lebih membimbangkan apabila dia mendapati beberapa akaun dibuka di atas namanya membabitkan bank yang dirinya sendiri tidak pernah menjejakkan kaki secara fizikal ke premis berkenaan.
“Saya juga dapat tahu yang dia mengguna nama saya untuk mendaftar lima nombor. Lima nombor itu dia guna untuk tipu orang lain pula. Macam saya nampak iklan kerja di grup kerja kosong dekat Facebook, dia ada juga di Instagram dengan Telegram.
“Pada mulanya memang tak syak sebab kita fikir dia buat bersemuka, training itu pun kita tinggal satu rumah, makan sama, main game (telefon bimbit) sama jadi tak terfikir pula ini satu scam,” katanya.
Sementara itu Setiausaha Agung Pertubuhan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishammuddin Hashim berkata, pihaknya akan membantu mangsa membuat laporan polis secepat mungkin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




