BANGKOK — Lapan sami Buddha terkorban manakala 13 lagi cedera parah selepas sebuah trak pikap merempuh kumpulan sami yang sedang menjalankan perarakan ziarah berjalan kaki di wilayah Mukdahan, timur laut Thailand, pada Khamis, menurut polis.
Kejadian berlaku sekitar jam 12 tengah hari waktu tempatan di tepi jalan di Ban Na Si Nuan, daerah Mueang.
Pasukan penyelamat, polis dan petugas kecemasan bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati beberapa sami terbaring di atas jalan serta bahu jalan.
Lima mangsa disahkan maut di tempat kejadian, manakala tiga lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Kesemua 13 mangsa yang cedera telah dihantar ke beberapa hospital berhampiran untuk rawatan kecemasan.
Siasatan awal polis mendapati pikap tersebut dipandu oleh seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang didakwa mengambil kenderaan itu tanpa kebenaran daripada ibu bapa atau penjaga sebelum melanggar kumpulan perarakan sami berkenaan.
Pihak berkuasa kini telah mengawal kawasan kejadian, mengumpul bukti, menemu bual saksi, serta menyiasat punca sebenar kemalangan tersebut. Siasatan masih diteruskan.-Agensi



