Heung-min akui pencapaian menakjubkan

Heung-min akui pencapaian menakjubkan

TONGGAK Tottenham Hotspur, Son Heung-min mengakui tidak menyangka dapat meraih Anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini.

Sebaliknya, pemain Korea Selatan berusia 29 tahun itu menyifatkan pencapaian diraih pada hari terakhir perlawanan menentang Norwich City itu merupakan satu pencapaian menakjubkan sepanjang bergelar pemain profesional.

“Sejujurnya saya tidak percaya dapat memenangi anugerah menakjubkan ini dan sedikit beremosi kerana sememangnya mengimpikannya sejak kecil dan kini ia di tangan saya.

“Malah sebelum mendapat anugerah ini saya kecewa kerana mempersiakan deretan peluang untuk menjaringkan gol dalam perlawanan ini walaupun akhirnya berjaya menjaringkan gol dalam situasi yang sukar.

“Namun saya tidak mengalah dan berjaya menjaringkan gol dengan bantuan rakan-rakan sepasukan lain dalam perlawanan ini yang anda dapat saksikan sendiri,” kata kapten Korea Selatan itu.

Untuk rekod, Heung-min dan penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah berkongsi Anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris selepas kedua-duanya memiliki jaringan sebanyak 23 gol pada hari terakhir saingan liga.

Dalam aksi menentang Norwich City di Carrow Road, anak buah Antonio Conte membelasah The Canaries kendalian Dean Smith, 5-0 dengan Heung-min meledak dua gol pada minit ke-70 dan 75.

Sementara tiga gol The Lilywhites lagi dijaringkan Harry Kane (32′) dan Dejan Kulusevski (16′, 64′) sekali gus membolehkan kelab London tersebut mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara musim depan.

INFO

Anugerah Kasut Emas EPL 2021/22

1. Mohamed Salah (Liverpool) 23

2. Son Heung-min (Tottenham) 23

3. Cristiano Ronaldo (Manchester United) 18

4. Harry Kane (Tottenham) 17

5. Sadio Mane (Liverpool) 16

6. Kevin De Bruyne (Mancheter City) 15

7. Diogo Jota (Liverpool) 15

8. Jamie Vardy (Leicester City) 15

9. Wilfried Zaha (Crystal Palace) 14

10. Raheem Sterling (Manchester City) 13

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang