anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak menahan reman seorang anggota penguat kuasa selepas disyaki menerima rasuah kira-kira RM190,000 daripada sebuah syarikat pembungkusan minyak masak.
Ia sebagai balasan membantu proses permohonan kuota subsidi minyak masak daripada sebuah kementerian serta tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas syarikat itu.
Perintah reman selama tiga hari sehingga 16 Ogos 2026 terhadap suspek dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mohd Shazmeer Zamhari selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Taiping.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara tahun 2022 hingga 2026.
“Suspek dipercayai menerima wang rasuah melalui 19 keping cek yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi miliknya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
© New Straits Times Press (M) Bhd
