am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selain gaji, penghijrahan ke luar negara bagi sesetengah pakar adalah soal pengalaman, membina kemahiran baharu dan mencabar keupayaan diri.
Itulah faktor menjadi pegangan ahli ekonomi terkemuka, Dr Mohd Yusof Saari, 46, apabila mengambil keputusan berhijrah ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak September 2022 hingga Mac 2025.
Lebih bermakna, pelantikannya sebagai ketua ekonomi buruh merangkap penasihat kepada Menteri Sumber Manusia dan Emiratisasi UAE adalah jawatan jarang sekali disandang anak Malaysia.
Menurutnya, keputusan berhijrah berpaksikan prinsip ekonomi itu sendiri iaitu faedah kewangan dan bukan kewangan yang diperoleh melebihi kos penghijrahan.
“Faktor utama mendorong saya berhijrah peningkatan kerjaya dan tawaran gaji lebih tinggi.
“Selain itu, penghijrahan ini juga memberi pengalaman yang cukup bernilai kerana saya berpeluang menyumbang dalam pembangunan dasar sebuah negara lain, sambil diberi kepercayaan menjadi penasihat kepada seorang Menteri kerajaan asing,”katanya.
Dr Mohd Yusof berkata, secara peribadi, pengalaman itu bukan sekadar memperkayakan kerjaya, malah mengukuhkan keyakinan kepakaran anak Malaysia mampu diiktiraf di pentas global.
Menurutnya, sebelum ke UAE, beliau terbabit dengan analisis serta pembuatan dasar di Malaysia, termasuk ketika dipinjamkan ke Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) sewaktu negara berdepan pandemik COVID-19. Namun katanya, di Malaysia kita tidak boleh lari dari kenyataan faktor politik mengatasi kepakaran termasuk dalam aspek ekonomi.
“Sejarah ‘Singapura dilanggar todak’ dalam Sulalatus Salatin memberi kiasan yang relevan.
“Seorang budak cerdik berjaya mencadangkan penyelesaian berkesan, tetapi akhirnya dihukum kerana kecerdikannya menimbulkan rasa khuatir pembesar.
“Begitu juga keadaan di negara kita. Kadangkala kepakaran tidak diraikan, malah dianggap ancaman,” katanya.
Berbeza di UAE kerana budaya kerja mereka mengiktiraf world talent berdasarkan merit, kualiti kerja dan keupayaan menyampaikan hasil.
Katanya, pelobi yang hanya pandai bercakap tanpa hasil tidak diberi tempat.
“Kepuasan bekerja di peringkat tertinggi di UAE juga jauh berbeza. Dasar baharu dilaksana dengan cepat tanpa terikat dengan tadbir urus terlalu kompleks.
“Pengiktirafan sebegini jadikan pengalaman saya di UAE lebih rewarding, sekali gus buktikan kepakaran anak Malaysia mampu bersaing di peringkat global,” katanya.
Berpengalaman lebih 22 tahun dalam bidang ekonomi dan pemodelan dasar, bagi Dr Yusof ditawar jawatan lebih tinggi di luar negara adalah bentuk pengiktirafan paling bermakna dalam kerjaya seseorang.
Katanya, ia bukan sekadar soal pangkat, tetapi cerminan kepada nilai dan kepakaran yang diiktiraf oleh komuniti antarabangsa.
“Bina kepercayaan sehingga ke peringkat ini bukan sesuatu yang mudah. Ia menuntut rekod prestasi, integriti dan kemampuan beri hasil yang nyata,” katanya.
Berkhidmat di luar negara tidak bermakna seseorang itu tiada boleh terus menyumbang kepada negara.
Menurut anak jati Perak ini, sepanjang berkhidmat di UAE, beliau tetap aktif menyumbang kepada Malaysia melalui pelbagai kajian dan pembangunan dasar.
“Sumbangan hadir dalam bentuk laporan, kertas kerja, mesyuarat dalam talian, serta peranan saya sebagai fasilitator bengkel.
“Saya turut bantu mengkoordinasi lawatan penanda aras ke beberapa negara bersama delegasi Malaysia demi memastikan Malaysia dapat akses amalan terbaik antarabangsa,” katanya.
Kini, selepas tiga tahun berkhidmat di luar negara, Dr Mohd Yusof membuat keputusan besar apabila melepas jawatan dan gaji tinggi semata-mata mahu kembali menyumbang kepada Malaysia.
Dr Afiq buktikan kewujudan toponium
Kejayaan membanggakan apabila seorang saintis Malaysia mengetuai penyelidikan di Pertubuhan Penyelidikan Nuklear Eropah (CERN).
Malah Dr Afiq Aizuddin Anuar, 35, lebih membanggakan apabila dia berjaya membuktikan kewujudan toponium iaitu zarah yang terbentuk hasil ikatan di antara dua kuark atas (top quark).
Kejayaan penemuan pertama di dunia ini, sekali gus melenyapkan andaian lama saintis bidang fizik zarah bahawa zarah seperti itu tidak wujud.
Penyelidikan ini dilakukan Pakatan CMS dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kebangsaan Untuk Sains Asas – Deutsches Elektronen-Synchrotron (DESY) Jerman.
Dr Afiq berkata, untuk pemahaman lebih jelas mengenai penemuan itu, beliau berkongsi ilmu asas fizik yang mana jirim terdiri daripada zarah seperti proton, neutron dan elektron.
Menurutnya, proton dan neutron bukan zarah paling asas. Sebaliknya, terbina daripada zarah yang lebih kecil dipanggil kuark.
“Ada enam jenis kuark iaitu naik (up), turun (down), ganjil (strange), terpesona (charm), bawah (bottom) dan atas (top).
“Kuark tidak boleh dikesan secara bersendirian kerana ia sentiasa bergabung untuk membentuk zarah lebih besar yang dikenali sebagai hadron,”katanya.
Jelasnya, kuark atas ada sifat unik kerana jisimnya jauh lebih berat daripada semua zarah asas lain. Oleh itu, ia mereput dengan sangat pantas kepada kuark lain.
“Komuniti saintis berpegang kepada teori masa yang diambil kuark atas mereput terlalu singkat untuk ia berinteraksi dengan kuark lain bagi membentuk hadron.
“Selama hampir tiga dekad sejak kuark atas ditemui pada 1995, saintis mengandaikan ia tidak akan dapat membentuk zarah terikat seperti toponium,” katanya.
Afiq Aizuddin berkata, beliau menyertai penyelidikan itu ketika melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang fizik zarah pada 2016 di DESY, yang asalnya bertujuan untuk mencari zarah baharu boleh mereput kepada kuark atas.
“Waktu itu dapat kenal pasti ‘sesuatu’ yang menarik, tetapi data dan teknik yang ada tidak cukup untuk diiktiraf sebagai satu penemuan (5 sigma atau nilai-p < 3 x 10⁻⁷) di dalam bidang fizik zarah.
“Apabila saya mengetuai kajian lanjutan pada 2020, matlamat utama memajukan teknik digunakan untuk menghasilkan satu penemuan baharu.
“Teknik berasaskan corak sudut di antara hasil reputan kuark atas ini terbukti berkesan. Pakatan CMS mengumumkan kali pertama pada 2024 toponium ditemui.
“Pada Julai 2025, Pakatan ATLAS mengumumkan mereka menemui toponium guna teknik sama,” katanya.
Beliau berkata, penemuan ini tergolong dalam penyelidikan asas dan kepentingannya tidak boleh dipandang rendah.
“Saya beri analogi kajian elektromagnetisme yang dahulu pengkajinya tidak mengetahui apakah aplikasinya.
“Tetapi kini ia menjadi asas hampir semua teknologi moden, termasuk komunikasi tanpa wayar yang membolehkan temu bual ini dilakukan menerusi panggilan telefon walaupun pada jarak jauh beribu kilometer (km) antara Jerman dengan Malaysia.
“Inilah keistimewaan penyelidikan asas, pengetahuan yang diperolehi boleh mengubah dunia.
Saya juga menasihati anak-anak muda Malaysia supaya bertindak berani untuk meneroka bidang diminati khususnya sains. Minat disertai usaha gigih pasti menghasilkan kejayaan cemerlang,” katanya.
Juruteknik Malaysia diiktiraf
“Hidup saya berubah sekelip mata apabila nama tersenarai dalam Skim Pemisahan Sukarela (VSS) syarikat penerbangan terkemuka negara sedekad lalu.
“Pada usia 35 tahun, saya buntu, hilang pekerjaan dan masa depan terasa kabur. Namun di situ bermulanya perjalanan baharu membawa saya ke pentas antarabangsa,” luah jurutera, Mohd Rezuan Ruslan, 45, yang kini berkhidmat di Emirates Engineering, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu tidak pernah menyangka tragedi kehilangan kerja menjadi pintu rezeki lebih luas dalam kerjaya penyelenggaraan pesawat.
Berkongsi kisah perjalanannya dalam dunia penerbangan, minatnya sudah berputik sejak kanak-kanak.
“Masa kecil dulu, saya sangat tertarik dengan cara kapal terbang berfungsi dan bagaimana ia dapat terangkat ke udara. Dari situlah saya nekad menceburi bidang penerbangan,” katanya.
Selepas menamatkan pengajian di MARA Northrop Rice Institute, Jasin, Melaka (kini dikenali sebagai Malaysian Institute of Aviation Technology – MIAT UniKL), Mohd Rezuan memulakan kerjaya sebagai juruteknik pesawat di MAS pada tahun 2000.
Bermula dengan Boeing 737, B747 dan Airbus A330 milik MAS, beliau terbabit dalam penyelenggaraan pesawat antarabangsa di bawah MAS Engineering, pihak ketiga Organisasi Baik Pulih dan Penyelenggaraan (MRO).
Mohd Rezuan berkata, antara syarikat penerbangan pernah menghantar pesawat untuk diselenggara ketika itu termasuk Saudi Airline, Coarse Air, Jet Airways, Spice Jet, Virgin Blue, NOK Air, Air Mauritius, Argentina Airline, Jet Star dan banyak lagi.
“Saya cuba nasib memohon kerja di luar negara selepas ditawar VSS. Alhamdulillah, Emirates Airline terima saya,” katanya.
Rezuan mula berkhidmat di Emirates pada Oktober 2015 di bahagian selenggara kabin pesawat.
Katanya, walaupun tawaran gaji tinggi jadi daya tarikan, keutamaan sebenar mendedahkan diri kepada teknologi, piawaian, dan sistem kerja yang berbeza.
“Bekerja di persekitaran antarabangsa membolehkan saya berinteraksi dengan profesional dari pelbagai latar belakang.
“Ia bukan saja membolehkan saya meningkatkan kemahiran teknikal tetapi kemahiran interpersonal saya,” katanya.
Sepanjang 10 tahun berkhidmat di luar negara, bagi Rezuan, jurutera dan juruteknik Malaysia mendapat pengiktirafan baik di luar negara.
“Kita dikenali sebagai pekerja rajin, berdisiplin dan berpengetahuan tinggi.
“Latihan dan pengalaman terutama di sekolah penerbangan di bawah piawaian Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) setanding dengan piawaian antarabangsa.
“Keupayaan menyesuaikan diri dengan pelbagai budaya kerja juga menjadi nilai tambah,” katanya.
Dalam apa juga kejayaan yang dikecapi, ia pastinya di sulami dengan cabaran tersendiri. Bagi Mohd Rezuan, antara cabaran besar yang perlu sukar ialah berjauhan dari keluarga dan rakan, penyesuaian budaya kerja, iklim dan kos sara hidup.
Ditanya antara sebab kenapa ramai pakar Malaysia memilih berhijrah ke luar negara, jawab Mohd Rezuan, selain peluang kerjaya luas ia kerana pendedahan kepada teknologi terkini, gaji lebih kompetitif dan pengiktirafan serta penghargaan terhadap kepakaran.
“Bagi saya, untuk elak dan menarik balik kepakaran, Malaysia perlu beri pakej gaji dan faedah setanding dengan pasaran antarabangsa.
“Negara perlu beri peluang pembangunan kerjaya yang jelas, pelaburan teknologi dan budaya kerja yang menghargai pengalaman tenaga mahir,” katanya.
Walaupun selesa dengan kerjaya di Dubai, Mohd Rezuan tidak menolak untuk pulang dan bekerja semula ke tanah air.
Hargai pengalaman 13 tahun di Makkah
“Saya anggap kerjaya ini rezeki daripada Allah SWT dan ia satu amanah yang perlu laksanakan dengan sebaiknya,” ujar Aznan Mohd Shariff,50.
Aznan rakyat Malaysia pertama memegang jawatan tinggi di hotel mewah bertaraf lima bintang iaitu Swissotel Makkah yang terletak berhadapan Menara Jam Makkah.
Beliau menggalas jawatan pengarah bahagian makanan dan minuman di hotel berkenaan sejak 13 tahun lalu.
Katanya, dia tidak menyangka diberi peluang itu dan menganggapnya rezeki tidak dijangka.
“Tanggungjawab saya memastikan semua aspek operasi makanan dan minuman memenuhi kepuasan jemaah haji serta umrah dari seluruh dunia.
“Di samping itu memberikan layanan kelas pertama kepada jemaah haji dan umrah sepanjang mereka menginap hotel ini.
“Selain itu saya perlu memberi latihan pengendalian makanan kepada 120 kakitangan di bawah pengurusan saya,” katanya.
Aznan berkata, dia berhasrat kekal bekerja di hotel berkenaan selagi diberikan peluang.
“Tarikan utama untuk kekal di sini (Makkah) kerana tempat kerja (Swissotel) berdekatan Masjidil Haram yang menghadap Kaabah.
“Ia memberi banyak kelebihan kepada saya. Ini membolehkan saya menunaikan umrah bila-bila masa,” katanya.
Menurutnya lagi, bulan Ramadan dan musim Haji waktu paling sibuk kerana mengurus ramai jemaah.
Jelasnya, pada waktu itu (bulan Ramadan dan musm Haji) jumlah jemaah menginap di hotel itu meningkat antara 3,000 hingga 3,500 orang.
“Berbanding hari biasa. hotel ini menerima 2,200 jemaah setiap hari dari serata dunia.
“Paling seronok jumpa jemaah Malaysia kerana dapat berbual dan terasa seperti berada di tanah air.
“Nasihat kepada rakyat Malaysia yang ingin berhijrah bekerja di luar negara. Perkara paling utama adalah sikap positif untuk menyahut cabaran ini (kerja di luar negara).
“Ini kerana peluang yang datang hanya sekali dan kita perlu lakukannya sehabis baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




