Seorang wanita yang juga guru di sebuah sekolah rendah yang dilaporkan hilang pada 26 Disember 2023 disahkan maut dipercayai dibunuh oleh bekas teman lelakinya.
Memetik laporan Astro Awani, Superintendan Ashari Abu Samah berkata jasad wanita yang bernama Istiqomah Ahmad Rozi ditemui di dalam sebuah tong sampah tanpa kepala, badan dan tangan pada 31 Disember lalu.
Bagaimanapun, pihak polis hanya mengesahkan jasad itu milik wanita berkenaan selepas ujian asid deoksiribonukliek (DNA) dijalankan pada 2 Ogos lalu.
“Polis telah menjalankan siasatan dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan pada 2 Ogos oleh Bahagian Data Bank/ DNA (D13), Jabatan Siasatan Jenayah ke atas ibu kepada seorang wanita yang dilaporkan hilang pada 27 Disember 2023 di Johor mendapati ia sepadan,” katanya.
Sementara itu, pihak polis telah menahan dua individu yang merupakan pasangan suami isteri di Chemor, Perak bagi membantu siasatan bagi kes tersebut.
“Risikan yang dijalankan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah Melaka dengan kerjasama daripada Jabatan Siasatan Jenayah Johor telah berjaya menahan sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak,” kongsinya.
Tambahnya, siasatan dijalankan ke atas dua individu berkenaan kemudian membawa kepada penemuan sebahagian lagi anggota badan mangsa termasuk tulang jari dan kepala di kawasan sekitar enam kilometer dari tempat mangsa ditemui.
“Mangsa ini mempunyai tiga orang anak dan dipercayai tangkapan lelaki ini memang kenal dengan mangsa manakala isterinya tidak mengenali mangsa.
“Kedua-dua individu yang ditahan telah dibenarkan reman selama tujuh hari bermula 6 Ogos lalu dan pihak polis akan mohon sambung reman hari ini terhadap suspek lelaki yang ditahan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ashari memaklumkan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di talian 06-5562222.
“Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat ASP Norehan Omar di talian 010-4064003,” tambahnya.
Sebelum ini, media pernah melaporkan seorang wanita yang dibunuh dengan kejam apabila badannya ditemui disumbat ke dalam tong sampah.
Tong sampah itu kemudian dibuang ke dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang Alor Gajah, Melaka pada 31 Disember lalu.
Apa yang lebih tragis, bahagian kepala, tangan dan kaki jasad wantia yang dianggarkan berusia 20 hingga 30-an itu tidak berada di lokasi berkenaan dan dipercayai telah dipotong.
Sumber: Astro Awani (Shuhada Abdul Kadir)